Rabu, 4 Januari 2017 | 11:06am
GAMBAR hiasan

Penuntut UiTM mati sehari selepas kemalangan

BANDAR SERI JEMPOL: Penuntut Universiti Teknologi Mara (UiTM) cawangan Lendu, Melaka, yang terbabit dalam kemalangan di Kilometer 22 Jalan Bahau-Kemayan di sini, kelmarin, meninggal dunia malam tadi.

Ketua Polis Daerah Jempol, Superintendan Noorzainy Mohd Noor, berkata Wan Aisyarizan Azreen Wan Abdul Rashid, 21, meninggal dunia di Hospital Tuanku Ampuan Najihah (HTAN), Kuala Pilah, pada jam 10.15 malam.

Katanya, mangsa meninggal dunia ketika menerima rawatan akibat kecederaan parah kepala dan badan akibat kemalangan itu.

"Jenazahnya akan dibedah siasat pagi ini, manakala kes masih disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Dalam kemalangan berhampiran Kem Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) Debana, pada jam 6.10 petang, Isnin lalu, kereta PROTON Saga, yang dipandu oleh Wan Aisyarizan Azreen, dipercayai hilang kawalan sebelum terjunam ke dalam parit.

Rakannya Syazwani Izzati Kamarudin, 23, di tempat duduk penumpang depan meninggal dunia di tempat kejadian, manakala Wan Aisyarizan Azreen, yang parah dihantar ke Hospital Jempol dan kemudian dipindahkan ke HTAN.

16 dibaca
Berita Harian X