Sabtu, 13 Disember 2014 | 1:49pm

Kementerian Pertahanan cadang wakil Persatuan Veteran ATM dilantik sebagai Senator

ALOR SETAR: Kementerian Pertahanan berharap kerajaan meletakkan wakil daripada Persatuan Veteran Angkatan Tentera Malaysia (PVATM) sebagai Senator di Dewan Negara.

Menterinya, Datuk Seri Hishammuddin Hussein, berkata pihaknya akan mencadangkan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, supaya melantik presiden PVATM, Tan Sri Mohd Anwar Mohd Nor bagi memegang jawatan itu.

"Pelantikan ini penting bukan saja bagi mengiktiraf sumbangan veteran ATM kepada negara, tetapi juga bagi memastikan suara dan keluhan veteran ATM diambil perhatian oleh kerajaan dan rakyat , " katanya pada sidang media selepas merasmikan Persidangan Perwakilan Tahunan Negara ke-89 Persatuan Veteran ATM, di sini, hari ini.

Pada masa sama, Hishammuddin berkata pihaknya juga akan menubuhkan Jawatankuasa Khas yang bakal beroperasi minggu depan bagi membuat kajian terperinci dan mendapatkan formula menambah baik aspek kebajikan veteran ATM sekali gus menentukan hala tuju mereka.

"Saya sudah mengarahkan Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan, Datuk Seri Abdul Rahim Radzi untuk menubuhkan jawatankuasa ini dan ia akan dianggotai oleh PVATM serta agensi lain, " katanya.

15 dibaca
Berita Harian X