Rabu, 4 Januari 2017 | 8:58am

200 atlet Russia disenarai dalam laporan doping

MONACO: Persekutuan Olahraga Amatur Antarabangsa (IAAF) berkata, pihaknya sudah menghantar nama 200 atlet Russia yang diberikan penyiasat doping antarabangsa bagi diperiksa jika mereka mahu bersaing sebagai atlet neutral tahun ini.

Badan induk itu berkata mereka sudah menghantar nama diberikan penyiasat yang bekerja buat peguam Kanada, Richard McLaren, yang mendakwa wujudnya sistem doping 'ditaja kerajaan' Russia.

Ketika wujudnya nama berkenaan, Presiden IAAF Sebastian Coe memperkenalkan sistem yang dikatakan akan 'mengecewakan' atlet Russia.

Russia sudah digantung daripada kejohanan antarabangsa sejak 2015 dan IAAF berkata mereka sudah menetapkan kriteria baharu kepada Persekutuan Olahraga Russia (RUSAF) bagi atlet bertanding dalam kejohanan antarabangsa selaku atlet neutral.

Mengambil bahagian selaku atlet tanpa negara mungkin menjadi satu-satunya cara buat atlet Russia untuk bersaing dalam kejohanan olahraga dunia di London pada Ogos.

"Satu daripada kriteria ialah memerlukan atlet menunjukkan mereka tidak terbabit dalam apa cara (sedar atau tidak) dengan kegagalan persekutuan kebangsaan mereka (RUSAF) memperkenalkan sistem yang baik untuk mempertahan dan mempromosikan atlet yang bersih," kata kenyataan dikeluarkan IAAF.

"IAAF sudah menghantar nama kira-kira 200 atlet Russia yang diberikan pasukan penyiasat McLaren dan mereka akan menyiasat bukti daripada laporan McLaren dan tempat lain untuk melihat mana-mana atlet yang cuba menimbang bagi mendapatkan status neutral di bawah peraturan itu," katanya. - AFP

Berita Harian X