Rabu, 4 Januari 2017 | 12:04am

Seramik ilham dari lumpur bendang

ALOR GAJAH: Ketika revolusi perniagaan fesyen dan produk kecantikan mendapat perhatian pengusaha wanita, seorang wanita muda optimis bidang seramik buatan tangan mempunyai masa depan lebih cerah.

Ternyata, usaha Pengasas merangkap Pengarah Urusan Bendang Studio, Rozana Musa, 34, itu berbaloi apabila minatnya bergelumang dengan lumpur dan tanah liat kini mampu menghasilkan karya seni hebat seperti set pinggan mangkuk dan arca hiasan bernilai tinggi.

Meskipun mengenali tanah liat lebih dekat selepas melanjutkan pengajian dalam Jurusan Seni Lukis dan Seni Reka (Seramik) di Universiti Teknologi MARA (UiTM) pada tahun 2000, beliau tetap bermula daripada bawah untuk mengembangkan bakatnya dengan pelbagai idea baharu.

Minat yang mendalam turut mendorongnya mencipta inovasi baharu, iaitu alat pembakar seramik atau dikenali sebagai 'tanur' sehingga mendapat anugerah khas Inovasi Akar Umbi Jejak Inovasi 2011.

"Pengalaman bermain lumpur di bendang ibu di Kampung Sungai Petai, Alor Gajah, Melaka, ketika kecil mencetuskan ilham dan menguatkan semangat saya untuk meneruskan bidang ini sehingga berjaya menghasilkan tanur.


PENGASAS Bendang Studio, Rozana Musa. - Foto NSTP/Khairunisah Lokman

ROZANA menunjukkan set pinggan mangkuk seramik yang dihasilkan daripada lumpur di bendang ibunya. - Foto NSTP/Khairunisah Lokman

"Justeru, bermodalkan RM2,500, saya membuat inovasi tanur sebelum membuka perniagaan produk seramik," katanya ketika ditemui BH di pejabat produksinya, di sini.

Bercerita mengenai inovasi alat pembakar seramik ciptaannya, anak kelahiran Alor Gajah itu berkata, harga alat pembakar di pasaran yang agak mahal hingga mencecah RM12,000 mendorong beliau membuat tanur sendiri.

"Di universiti, saya banyak merujuk pensyarah untuk mencipta alat inovasi ini. Alat tanur berkenaan diperbuat daripada gentian tahan suhu tinggi sehingga 1,060 darjah Celsius dan tanpa menggunakan meter penyukat suhu," katanya yang bercita-cita memiliki galeri sendiri.

Berkongsi pengalamannya, Rozana berkata, pada awal pembabitannya pada 2009, beliau hanya menggunakan bahan asas seramik iaitu lumpur yang terdapat di bendang di belakang rumah ibunya.

Katanya, kebanyakan tanah liat diambil daripada lumpur di bendang ibu selain menempah tanah lombong di negeri lain dengan menyewa lori muatan satu tan.

Beliau berkata, kerja pembuatan seramik menggunakan tangan ini lebih mencabar berbanding teknologi tinggi di kilang yang mampu menghasilkan sekurang-kurangnya 100 produk pelbagai jenis setiap minggu.


KAKITANGAN Bendang Studio meratakan permukaan pinggan seramik dengan menggunakan alat butsir sambil diperhatikan oleh pengasasnya, Rozana. - Foto NSTP/Khairunisah Lokman

"Kami perlu mengekalkan kualiti di setiap peringkat. Banyak faktor lain juga perlu diambil kira seperti cuaca kerana produk tidak akan berhasil dengan baik jika hujan. Jika hasilnya tidak memuaskan, ia terpaksa ditolak daripada dipamer atau dijual," kata anak bongsu daripada 13 adik-beradik itu.

Rozana berkata, ketika mula menceburi bidang perniagaan seramik tahun 2008 dan serius dua tahun kemudian, keluarga kurang yakin dengan apa yang dilakukannya kerana beranggapan bidang itu tiada potensi.

Katanya, selepas melihat kesungguhannya mendapatkan bantuan geran daripada beberapa agensi seperti Kraftangan Malaysia dan Yayasan Inovasi Malaysia beberapa tahun kemudian, baru mereka memberikan sokongan.

Beliau kini merancang untuk melebarkan sayap perniagaannya lebih jauh meskipun produk Bendang Studio kini mendapat tempat di Dubai, Emiriah Arab Bersatu; Jepun, Tokyo, Paris dan Jerman.


BINTANG hip hop (dari kiri), Alif, Joe Flizzow dan SonaOne pada sidang media Def Jam Recordings Malaysia dan Singapura di Publika. - NSTP/Mahzir Mat Isa

INFO Bendang Studio

  • Terletak di Kampung Sungai Petai, Alor Gajah.

  • Beroperasi jam 8 pagi-11 malam.

  • Mempunyai empat pekerja.

  • Menghasilkan sekurang-kurangnya 20 unit produk seperti pinggan dalam seminggu.

  • Harga bagi satu produk seramik buatan tangan seperti pinggan serendah RM45.

ROZANA menunjukkan set pinggan mangkuk seramik yang dihasilkan daripada lumpur di bendang ibunya. - Foto NSTP/Khairunisah Lokman
Berita Harian X