Selasa, 3 Januari 2017 | 2:59pm

Pasangan kembar perempuan menjadi tumpuan


ANTARA gelagat pasangan kembar Nur Qairina Alysha Mohd Hazwira (kiri), Nur Aryana Alysha Mohd Hazwira (dua dari kiri), Akif Naqiuddin Mohd Diah (dua dari kanan) dan Akif Najmuddin Mohd Diah (kanan) pelajar tahun satu Sekolah Rendah Taman Melati pada hari pertama sesi persekolahan hari ini. - Foto Hafiz Sohaimi

KUALA LUMPUR: Pasangan kembar, Nur Qairina Alysha Mohd Hazwira dan adiknya, Nur Qalesya Aryana, teruja di hari pertama persekolahan di Sekolah Kebangsaan (SK) Taman Melati di sini, hari ini.

Nur Qairina dan Nur Qalesya yang ditemani ibu mereka, Dasimah Zainal, 35, antara 171 murid Tahun Satu memulakan sesi persekolahan hari ini.

Dasimah berkata, kedua anaknya itu tidak sabar untuk ke sekolah mahu berkenalan dengan rakan sekelas mereka.

"Saya kejut anak (Qairina dan Qalesya), seawal jam 6 pagi untuk mempersiapkan mereka ke sekolah sebab anak kembar kan..., memerlukan masa yang lebih.

"Sebagai seorang ibu juga, saya harap kedua anak saya ini akan menyesuaikan diri dengan persekitaran baharu.

"Daripada segi persiapan, saya menceritakan kepada mereka keseronokan di sekolah, malah setakat hari ini mereka tidak banyak ragam, " katanya ditemui BH, di SK Taman Melati, di sini, hari ini.

Berita Harian X