Selasa, 3 Januari 2017 | 6:01am

Pangkor layak jadi pulau bebas cukai


KEINDAHAN pantai antara tarikan ke Pulau Pangkor. - Foto Noor Hidayah Tanzizi

SAYA percaya Festival Puisi dan Lagu Rakyat (PULARA) antarabangsa yang diadakan di Pangkor, Perak baru-baru ini mampu mempromosikan pulau kecil itu di mata dunia, sekali gus mengeratkan lagi ikatan penulis sejagat, selain terus menggamit kedatangan pelancong dalam atau luar negara.

Festival tahunan edisi ke-7 selama empat hari bermula 8 Disember lalu berjaya menarik lebih 400 penyertaan dari 20 negara, termasuk Malaysia. Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir adalah individu yang mencetuskan idea menganjurkan program itu sambil dibantu penggiat seni terkenal tanah air, Malim Ghazali.

Melihat usaha jujur dan ikhlas serta tidak jemu-jemu Dr Zambry untuk memajukan Pangkor sebagai destinasi pelancongan antarabangsa, maka diharapkan impiannya untuk melihat pulau itu menjadi pulau bebas cukai akan menjadi kenyataan.

Jika Langkawi di Kedah mampu diberi status pulau bebas cukai, tidak ada sebab kenapa Pangkor tidak boleh diberikan keistimewaan yang sama. Justeru, diharap Kerajaan Pusat memberi pertimbangan semula ke atas Pulau Pangkor untuk dijadikan pangkalan bebas cukai terbaharu.

Saya percaya Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi sebagai orang Perak, juga mahu melihat kawasan Parlimen yang diwakilinya iaitu Bagan Datoh menjadi daerah baharu yang boleh memainkan peranan, menjadikan projek Pangkor sebagai pulau bebas cukai.

Untuk rekod RM1 bilion telah diluluskan Kerajaan Pusat bagi memajukan daerah baharu Bagan Datoh. Antara pulau yang berada di situ dan berdekatan Pangkor ialah Pulau Sembilan. Pangkor pula terletak tidak jauh dari Pulau Belawan di Medan, Sumatera.

Wujudkan perbadanan

Ke arah menjadikan Pangkor pulau bebas cukai, saya harap dapat diwujudkan sebuah perbadanan untuk mentadbir pulau itu. Pulau Pangkor kini ditadbir di bawah Majlis Perbandaran Manjong.

Selepas Pesta Laut Lumut tenggelam, PULARA semakin menjadi sebutan masyarakat tempatan dan luar. Penduduk Pangkor bertuah kerana memiliki wakil rakyat seperti Dr Zambry yang juga seorang penulis puisi dan ini sudah tentu menjadi ikon kepada anak muda terutamanya.

Sempena PULARA, juga berlangsung penyampaian hadiah pemenang karya Darul Ridzuan yang berlangsung di Sekolah Menengah Pangkor. Saya bersyukur kerana buku karya saya bertajuk Bola sepak pro dan kontra memenangi hadiah dalam kategori memoir. Pada PULARA tahun ini, bagaimanapun tidak ada pemenang Tokoh Sastera Perak.

Buku kemenangan ini juga telah saya persembahkan kepada baginda Sultan Perak pada majlis malam kemuncak dan penutup PULARA. Tahun lalu, buku ini memenangi hadiah buku sukan terbaik Yayasan Buku Negara yang disampaikan Timbalan Perdana Menteri di Kuala Lumpur.

Info

  • Pangkor daripada perkataan Siam iaitu Pang Ko atau pulau indah.
  • Bersama daerah Manjung menjadi Jajahan Diraja Inggeris selepas Perjanjian Pangkor (20 Januari 1874).
  • Residen Inggeris pertama di Perak, James WW Birch membina kediaman rasmi di atas Bukit Dali dekat Teluk Raja Bayang di pulau itu.
  • Melakar nama dalam sejarah tanah air menerusi Perjanjian Pangkor ditandatangani Raja Abdullah dan Andrew Clarke
  • atas kapal Inggeris, Pluto di perairan pulau itu yang memulakan campur tangan dan sistem Residen Inggeris di Tanah Melayu.
  • Banyak kedai menyediakan barangan cenderahati dan hasil laut.
  • Dibangunkan pada 1985 dan sejak pembangunan semula pada 1994, menarik 50,000 pelancong setahun.
  • Menyediakan banyak hotel dan tempat penginapan, terutama di Pasir Bogak dan Teluk Nipah.
15 dibaca
Berita Harian X