Selasa, 3 Januari 2017 | 12:31am
KEADAAN kereta selepas terbabas ke dalam parit di Kilometer 22 Jalan Bahau-Kemayan, di Bandar Seri Jempol, petang semalam. - Foto Abnor Hamizam Abd Manap
KERETA dipercayai terbabas ke kiri jalan dan melanggar tiang elektrik sebelum terjunam ke dalam parit. - Foto Abnor Hamizam Abd Manap

Penuntut UiTM Lendu maut nahas


KEADAAN kereta dinaiki kedua-dua mangsa selepas terbabas ke dalam parit. - Foto Abnor Hamizam Abd Manap

BANDAR SERI JEMPOL: Seorang penuntut Universiti Teknologi Mara (UiTM) maut dipercayai akibat lemas selepas kereta dinaikinya terbabas ke dalam parit di Kilometer 22 Jalan Bahau-Kemayan, di sini, petang semalam.

Ketua Polis Daerah Jempol, Superintendan Noorzainy Mohd Noor, berkata dalam kejadian jam 6.10 petang itu, Syazwani Izzati Kamarudin, 23, meninggal dunia di tempat kejadian, manakala rakannya, Wan Aisyarizan Azreen Wan Abdul Rashid, 21, yang juga pemandu kereta itu, cedera parah.

"Siasatan awal mendapati, kereta itu dipercayai terbabas ke kiri jalan dan melanggar tiang elektrik sebelum terjunam ke dalam parit," katanya.

Difahamkan, Wan Aisyarizan Azreen, sempat dikeluarkan daripada kereta itu oleh pengguna jalan raya yang melalui jalan berkenaan, manakala Syazwani Izzati didapati sudah meninggal dunia apabila dibawa keluar.

Mangsa dihantar ke Hospital Jempol dan polis masih menyiasat lanjut kejadian itu mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Berita Harian X