Selasa, 3 Januari 2017 | 12:00am

Nad Zainal tumpu lakonan telefilem, demi bayi

KEHADIRAN cahaya mata sulung, Fahad Ibrahim, 14 Oktober tahun lalu sudah pastinya menambah seri dan kebahagiaan dalam kehidupan pasangan Nad Zainal serta suami, Muhammad Faliq Amiruddin, 28.

Mengakui, tanggungjawabnya semakin bertambah setelah bergelar ibu, Nad atau nama penuhnya Nadia Nadhirah Zainal Hassan mengambil keputusan untuk menolak tawaran berlakon drama selama setahun demi melihat anak lelakinya itu membesar di depan mata.

Lebih suka menjaga anaknya sendiri daripada mengupah pengasuh mahupun mengambil orang gaji, pelakon berusia 26 tahun ini berasakan itulah tanggungjawabnya sebagai ibu meskipun sibuk dengan kerjaya.

Tidak pernah menganggap perkahwinan dan zuriat sebagai batu penghalang untuknya melebarkan sayap seni, wanita berasal dari Kajang, Selangor ini malah melihat populariti bukan lagi fokus utamanya dalam mengukuhkan kerjaya diceburi.

"Seronok sebenarnya menjadi ibu. Begitupun, tipu kalau saya cakap tak penat dan dalam masa sama saya ada tanggungjawab baharu. Cuma, apabila nak pergi kerja rasa liat sedikit kerana risau nak tinggalkan dia.

MAJLIS Aqiqah Fahad Ibrahim anak kepada Selebriti, Nad Zainal bersama suami Muhammad Faliq Amiruddin di Casa Ombak, Jalan Damai, Kg. Datuk Keramat, Kuala Lumpur. - Foto Amirudin Sahib

"Dengan kehidupan sekarang, saya rasa lebih gembira sebab dapat menikmati nilai hidup baharu. Saya rasa, semua ibu akan berasa berat hati untuk meninggalkan anak di rumah, tanpa melihat mereka membesar di depan mata sendiri. Saya sendiri umpamanya tidak mempunyai penjaga, cuma kadang-kadang saya meminta tolong ibu mentua. Kalau suami tidak bekerja pula, dia akan jaga si kecil," katanya.

Hanya memilih naskhah atau karya yang dirasakan berbaloi untuk diterima, Nad akan mengurangkan karya bercorak komedi pada masa akan datang selain lebih suka menerima tawaran menjayakan telefilem.

Berasakan ia cara terbaik untuknya meluangkan masa bagi menguruskan anak kesayangan yang kini berusia hampir tiga bulan, beliau yang ditemui pada majlis aqiqah dan cukur jambul Fahad di ibu kota baru-baru ini berkata, beliau kini sibuk dengan penggambaran program travelog.

"Jadi, saya kena pilih betul-betul naskhah yang membuatkan saya rasa berbaloi untuk keluar rumah. Ketika mengandung, memang saya tolak tawaran, kemudian berpantang dan lepas habis pantang barulah saya memulakan balik penggambaran.

"Suami juga meminta saya terima tawaran telefilem dan elakkan drama episod. Jadi, buat masa ini saya akan 'berpantang' setahun daripada menerima sebarang tawaran drama episod kerana tempoh penggambarannya yang panjang dan pulang ke rumah pula agak lewat. Cukup sekadar satu telefilem dalam sebulan.

MAJLIS Aqiqah Fahad Ibrahim anak kepada Selebriti, Nad Zainal bersama suami Muhammad Faliq Amiruddin di Casa Ombak, Jalan Damai, Kg. Datuk Keramat, Kuala Lumpur. - Foto Amirudin Sahib

Tidak berasa ralat mahupun kecewa apabila terpaksa melepaskan tawaran membintangi drama tatkala namanya kian sepi, Nad berasakan anaknya lebih menjadi keutamaan. Bahkan, kata wanita ini, dirinya tidak kisah jika sekadar menerima satu tawaran dalam tempoh tiga bulan.

"Saya tidak berasa ralat apabila lebih memfokuskan kepada keluarga, sehingga kerjaya seni saya suram atau perlahan. Bagi saya, populariti bukan lagi satu keutamaan. Apabila saya berasa sudah boleh tinggalkan dia, baru saya akan terima tawaran lakonan drama semula.

"Dari segi lakonan pula, suami amat memahami. Cuma sebagai isteri, saya kenalah pandai membawa diri. Kalau tuntutan naskhah memerlukan babak bersentuhan, mungkin ada cara lain yang boleh diguna pakai. Saya rasa tidak ada masalah dalam hal itu, malah skrip yang saya terima pun tidak menuntut saya untuk beraksi berlebihan dengan pelakon lelaki," katanya.

Berazam ingin menjadi seorang ibu serba boleh atau 'supermom' pada tahun baharu, Nad ingin menceburi lebih banyak bidang selain lakonan dan perniagaan.

"Pada tahun baharu ini, saya berazam ingin tanamkan lebih sifat sabar, selain hendak menulis skrip dan mengarah pula. Minat untuk menulis skrip sebenarnya sudah lama tersimpan, iaitu sejak belajar di Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (ASWARA) lagi. Apatah lagi saya memang mengambil elektif penulisan.

"Sekarang ini saya cuba menulis balik sikit-sikit, bermula dengan penyediaan sinopsis. Saya pernah tanya kepada Elly Suriatie (pelakon, pengarah) mengenai hasrat saya untuk mengarah. Tetapi, sebab saya takut untuk terus mengarah kerana tak suka mengarahkan orang, jadi, Kak Elly menyarankan saya untuk menulis skrip terlebih dulu.

"Memang ada banyak idea dalam fikiran saya, sampai tak tahu nak buat apa. Jadi, sekarang saya sedang menulis skrip dan akan dapatkan penulis skrip sebenar untuk mencantikkan lagi hasil tulisan saya itu," katanya.

Info: Nad Zainal

  • Nama sebenar - Nadia Nadhirah Zainal Hassan.
  • Bekas penuntut Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (ASWARA).
  • Sudah bintangi lebih 20 drama dan hampir 40 telefilem serta 4 filem.
  • Aktif dalam pementasan teater, antaranya Maduku Kalut, Diari Wanita dan Ombak Rindu.
  • Pernah dicalonkan dalam Anugerah Skrin dan Festival Filem Malaysia.
  • Raih trofi Pelakon TV Wanita Popular pada Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) 2014.
MAJLIS Aqiqah Fahad Ibrahim anak kepada Selebriti, Nad Zainal bersama suami Muhammad Faliq Amiruddin di Casa Ombak, Jalan Damai, Kg. Datuk Keramat, Kuala Lumpur. - Foto Amirudin Sahib
Berita Harian X