Jumaat, 12 Disember 2014 | 11:10pm

Faralyna sah bergelar isteri kepada Fikri


FIKRI Abdullah (kanan) menyarungkan cincin kejari Faralyna dimajlis pernikahan mereka di Cruise Putrajaya . - Foto Nur Adibah Ahmad Izam

KUALA LUMPUR: Dramatis, Faralyna Idris selamat bergelar isteri kepada Muhammad Fikri Abdullah sebentar tadi. Pasangan ini diraikan di atas kapal Cruise Tasik Putrajaya. Masing-masing berbalas lima dulang hantaran.

Pasangan sama padan ini melangsungkan pertunangan Mei lalu selepas bercinta sejak dua tahun. Pasangan ini akan mengadakan majlis resepsi di Grand Ballroom The Place Once City, Subang Jaya, malam esok.

Lusanya pula, satu majlis keraian akan diadakan di sebelah pihak bakal pengantin lelaki di Keramat. Suami Faralyna bekerja sebagai jurugambar dan menubuhkan syarikat fotografi bernama Double FF sebagai mengabadikan pangkal huruf F mereka.

"Alhamdulillah di sebalik kekalutan dan minit akhir kami mengubah lokasi majlis perkahwinan, akhirnya semua berjalan seadanya. Terima kasih kepada keluarga yang banyak membantu melancarkan segala-galanya.

"Setakat ini kami tak merancang lagi nak berbulan madu ke mana-mana. Keputusan berkahwin ini pun mengejut... secara tiba-tiba apabila Fikri ajak saya kahwin. Perkara baik, keluarga pun tak ada halangan. Mungkin tahun depan kami akan berbulan madu.

"Ikut keinginan hati ingin ke Pulau Maldives. Tapi tak kisahlah mana-mana janji kami dapat luangkan masa berdua menikmati keindahan fasa awal perkahwinan. Soal anak pun kami tak ada perancangan. Terima saja rezeki jika ada dalam masa terdekat," katanya yang manis menggayakan busana rekaan Altilia Armani Shah Alam.

Esok, Faralyna akan menggayakan rekaan (Asian Atelier by Alia Anuar) dan Diandra Couture. Manakala suaminya segak dengan rekaan Diandra Couture. Bagi majlis di Keramat beliau akan pakai baju rekaan Ryn Avenue Shah Alam.

140 dibaca
Berita Harian X