Isnin, 2 Januari 2017 | 2:48pm

Cedera terjatuh panjat Gunung Nuang

Keadaan mangsa yang cedera di kaki kiri dan dibawa ke Hospital Ampang. - Foto ihsan Bomba

HULU LANGAT: Seorang wanita cedera di kaki dipercayai terjatuh ketika mendaki Gunung Nuang, dekat sini, semalam.

Nor Azliana Ahmad Yusof, 37, dari Klang yang mendaki gunung itu bersama tiga lagi rakannya, dikatakan mengalami kesukaran ketika turun sebelum terjatuh, menyebabkan kaki kirinya terseliuh.

Ketua Balai Bomba Kajang, Penolong Kanan Penguasa Bomba Faizad Amirul Abdul Razak, berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan kira-kira jam 7 malam dan menggerakkan anggota ke lokasi bagi membantu menyelamatkan mangsa.

"Anggota yang tiba mendaki ke hentian pertama gunung itu iaitu Kem Lolo kerana menyangka mangsa berada di situ berdasarkan maklumat awal.

"Bagaimanapun, mangsa didapati berada di kawasan lebih tinggi, menyebabkan anggota terpaksa mendaki sebelum menemui mangsa bersama rakannya pada jam 1 pagi," katanya ketika dihubungi BH, hari ini.

Beliau berkata, operasi mengambil masa panjang berikutan permukaan gunung yang curam dan berbatu, selain keadaan gelap.

Katanya, mangsa dibawa turun dari gunung kira-kira jam 10 pagi tadi dan dihantar ke Hospital Ampang untuk rawatan.

Berita Harian X