Isnin, 2 Januari 2017 | 12:09am

Maggy pernah gemuk, disangka hamil

BAGI sesetengah orang, berat badan ideal menjadi ukuran untuk tampil langsing, menarik dan tampak seimbang dengan ketinggian yang dimiliki.

Namun, tidak semua orang sesuai dengan pendekatan indeks jisim tubuh (BMI) ideal kerana ada orang kelihatan berisi atau terlalu kurus, meskipun beratnya dalam lingkungan sepatutnya.

Misalnya, Penyampai Radio FlyFM, Magdeline Wang, 25, berkata berat badan idealnya sekitar 59 kilogram (kg) dengan ketinggian tubuh 174 sentimeter (cm), namun selesa dengan angka 59, berbanding 55 yang menampakkan dia terlalu kurus.

Namun, gadis kelahiran Ipoh yang lebih mesra disapa Maggy, pernah mengalami masalah berat badan hingga 75 kg. Ini membuatkannya kelihatan berisi, besar dan paling melucukan disangka berbadan dua.


BERAT badan Maggy pernah meningkat hingga 75 kilogram membuatkan penampilannya kelihatan berisi dan besar hingga disangka hamil. - Foto Mahzir Mat Isa

Berikutan itu, gadis ini mencuba pelbagai kaedah diet selama dua tahun menguruskan badan, terutama yang menjanjikan penurunan berat pantas. Hingga pernah dimasukkan ke hospital kerana dihidrasi teruk selain alahan terhadap pil pembakar lemak.

"Antaranya saya pernah mencuba diet ekstrim seperti diet 10 kilogram dalam masa tujuh hari, diet betik, diet cecair dan tidak makan sepanjang hari serta mencuba pil pembakar lemak dengan harapan melangsingkan tubuh segera," katanya.


MAGGY menjadikan aktiviti senaman sebagai rutin harian secara konsisten, dibantu pemakanan sihat untuk mengekalkan bentuk badan yang ideal. - Foto Mahzir Mat Isa

>b?Masalah berat yo-yo

Masalah berat yo-yo dialami turut menyebabkan anak sulung daripada dua beradik ini, tidak pernah menimbang berat selama dua tahun.

"Tetapi semua itu cerita dulu. Sejak Januari lalu, saya berhasil mengikuti pemakanan dan senaman yang betul, sekali gus mengekalkan berat diingini serta membudayakan gaya hidup sihat," katanya.

Maggy berkata, kesedaran menjaga kesihatan diri perlu bermula dari awal kerana ia satu anugerah wajar dipelihara ketika sihat. Apatah lagi, kerjayanya sebagai personaliti radio dan hos televisyen, pengacara, pelakon dan personaliti kecergasan, menuntutnya menjaga badan serta berpenampilan menarik.

Bagi membantu proses diet seimbang, beliau mengamalkan pengambilan makanan lebih karbohidrat kompleks iaitu beras perang, berbanding nasi putih.

"Bagi saya, dengan rutin senaman konsisten dan pemakanan sihat yang betul untuk tubuh, berat badan mudah dikekalkan. Tetapi harus ingat, amalan diet dan kaedah senaman setiap orang adalah tidak sama," katanya turut memperuntukkan satu hari tanpa 'diet' untuk ganjaran diri.

Maggy cuba mengelak keluar lepak hingga lewat malam, tidak merokok dan minum minuman beralkohol kerana udara di luar banyak dicemari. Sebaliknya, lebih selesa berada di rumah menikmati bahan bacaan dan tidur yang mencukupi.

  


MAGGY lebih suka bersenam waktu malam berikutan jadual kerja yang fleksibel dan mengekalkan disiplin bersenam lima kali seminggu. - Foto Mahzir Mat Isa

Senaman waktu malam

Ternyata amalan gaya hidup sihat turut membawa perubahan positif pada kulitnya, memulihkan jerawat dan jeragat, sekali gus mengekalkan keremajaan kulit.

"Ini mungkin kebaikan rutin meminum air kosong, berbanding minuman manis membuatkan keperluan air dalam tubuh mencukupi. Begitu juga dengan pemakanan, misalnya saya akan bersarapan dua keping roti bijirin penuh jam 9 pagi, kemudian bertugas di radio untuk segmen 10 pagi hingga 12 tengahari, makan tengah hari dengan sumber protein dan nasi beras perang sekitar jam 2 petang dan malam masih menikmati nasi," katanya.

Mendapat latihan peribadi daripada teman lelaki yang juga penggiat dan jurulatih Brazilian Jiu-jitsu (BJJ), Joseph Lee, 25, Maggy mengakui, seni kemahiran mempertahankan diri itu sesuai untuk rutin kecergasan dan kekalkan berat badan unggul.

"Saya lebih suka melakukan senaman pada waktu malam, berikutan jadual kerja yang fleksibel, selain mengekalkan disiplin bersenam lima kali seminggu di gimnasium,," katanya.

 


MAGGY turut terkenal kerana sering berkongsi tip kecergasan dan senaman harian bersama pengikut akuan instagram peribadinya. - Foto Mahzir Mat Isa

Tidak lokek kongsi ilmu

Melihat wajah jelita dan bentuk tubuh langsing, tidak hairanlah Maggy berada dalam senarai lapan peserta akhir Miss Universe Malaysia yang disertai pada 2012.

Beliau juga bijak dan petah berbicara. Pada usia muda beliau menggapai impian bergelar penyampai radio dan menjadi kakitangan paling muda di FlyFM apabila bidang itu diceburi sejak di zaman universiti tiga tahun lalu, sebelum diserapkan secara tetap kira-kira setahun lalu.

Pendirian hidup bagi gadis ini adalah mencintai diri sendiri sebelum mengharapkan sesuatu yang lain. Ini agak istimewa kerana beliau memiliki dua ijazah pada masa sama dari University Monash iaitu Pengurusan Perniagaan dan Komunikasi.

Gemar aktiviti luar

Beliau juga menggemari aktiviti mendaki, memanjat batu, berenang dan badminton. Terkenal dengan hashtag #movewithmaggy, Maggy sering kali berkongsi tip kecergasan, senaman harian bagi menggalakkan lebih ramai pengikut instagram dan spotify mengikuti regim kecergasannya.

"Sebenarnya, dari bangku sekolah lagi saya aktif dalam bola jaring, sukan lompat tinggi dan menjadi pernah menjadi kapten soft ball, giat tarian balet, menjadi masa lapang sentiasa terisi dengan kegiatan sukan.

"Misalnya, kecenderungan saya sekarang ini adalah seni mempertahankan diri, Brazilian Jiu-jitsu (BJJ) yang mula dipelajari awal tahun lalu (2016) yang memberikan keseronokan, kemahiran baharu, mengelakkan daripada dibuli dan menurunkan berat badan," katanya.

INFO: Rahsia kecantikan Maggy Wang

    Disiplin dalam senaman & konsisten & pilih pemakanan yang betul.

    Minum air kosong berbanding minuman manis, tambahkan hirisan lemon.

    Snek sihat seperti buah, kacang badam.

    Masak menggunakan minyak zaitun atau kelapa berbanding minyak masak biasa.

    Menyediakan sendiri masakan berbanding makan di luar.

    Cari sukan diminati supaya ia menjadi gaya hidup yang menggembirakan.

Anggaran pengambilan makanan harian

    100 gram karbohidrat - beras perang, roti bijirin penuh.

    80-90 gram protein - ayam, ikan

    40 gram lemak- mentega kacang.

    30 gram fiber - buah-buahan, oat, muesli, brokoli

610 dibaca
MAGDELINE Wang, 25, lebih mesra disapa dengan panggillan Maggy. - Foto Mahzir Mat Isa
Berita Harian X