Ahad, 1 Januari 2017 | 5:29pm

Pemandu bas, lori masih bawa laju


ANGGOTA Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) melakukan pemeriksaan ke atas kenderaan dalam Operasi Terancang Ambang Tahun Baharu 2017 di Plaza Tol Jalan Duta. - Foto Halimaton Saadiah Sulaiman

KUALA LUMPUR: Pemandu kenderaan berat dilihat tidak mengambil iktibar kes kemalangan yang meragut nyawa apabila ada yang dikesan memandu melebihi had di lebuh raya.

Buktinya, sebanyak 262 saman dikeluarkan ke atas pemandu bas dan lori dalam tempoh 24 jam Operasi Penguatkuasaan Ambang Tahun Baharu oleh Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) di lebuh raya utama seluruh negara, malam tadi.

Ketua Penolong Pengarah Penguat Kuasa JSPT Bukit Aman, Superintendan Mustafa Bakri Salleh, berkata daripada jumlah itu, 179 membabitkan pemandu lori dan 83 bas.

"Had laju yang dibenarkan bagi kenderaan berat di lebuh raya adalah 90 kilometer sejam (km/j).

"Bagaimanapun, ketika operasi, kita dapati ada pemandu bas dan lori melebihi had itu, malah hingga mencecah 130 km/j," katanya pada sidang media selepas operasi di Plaza Tol Jalan Duta di sini, awal pagi tadi.

Katanya, sebanyak 2,832 saman bagi kesalahan sama turut dikeluarkan ke atas pemandu kenderaan lain.

Mustafa Bakri berkata, operasi bersama pihak konsesi lebuh raya, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Suruhanjaya Perkhidmatan Awam Darat (SPAD) dan Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) itu turut memberi perhatian kepada kesalahan tiada lesen memandu, cukai jalan tamat tempoh, nombor pendaftaran tidak mengikut spesifikasi dan tidak menggunakan lorong motosikal.

Sepanjang operasi, katanya, sebanyak 5,333 saman dikeluarkan ke atas 2,919 kenderaan yang diperiksa.

"Daripada 2,951 individu yang diperiksa, lapan ditahan atas kesalahan dadah dan tujuh orang kerana berada di bawah pengaruh alkohol," katanya.

Mustafa Bakri berkata, saman membabitkan pemeriksaan lima zon lebuh raya iaitu utara, selatan di Lebuh raya PLUS, zon tengah A dan B di Lebuhraya Persekutuan, Lebuhraya Damansara Puchong (LPD), Lebuh Raya Utara-Selatan Hubungan Tengah (ELITE), Lebuhraya Shah Alam (KESAS), Lebuhraya Kerinchi Link, Damansara Link dan Penchala Link (SPRINT) dan Sistem Lingkaran-Lebuhraya Kajang Sdn Bhd (SILK).

Zon Timur membabitkan Lebuhraya Pantai Timur (LPT) 1 dan 2.

Beliau berkata, operasi sama turut dijalankan di peringkat kontinjen dengan tumpuan enam kesalahan utama iaitu memandu melebihi had laju, melanggar lampu isyarat, memandu menggunakan telefon bimbit, memandu di lorong kecemasan, memotong barisan dan memotong garisan berkembar.

Operasi membabitkan 178 anggota JSPT dan 45 anggota agensi lain itu bermula pada jam 12 tengah malam tadi dan berakhir jam 4 pagi.

Berita Harian X