Ahad, 1 Januari 2017 | 12:36pm

Bantuan persekolahan, LZNK diserbu


ORANG ramai beratur seawal jam 7.30 pagi untuk bantuan awal persekolahan RM400 di Lembaga Zakat Negeri Kedah, Alor Setar, hari ini. - Foto Ihsan LZNK

ALOR SETAR: Lembaga Zakat Negeri Kedah (LZNK) mula mengagihkan 80,000 borang bagi permohonan bantuan awal persekolahan hari ini, sebagai inisiatif membantu rakyat berpendapatan sederhana menyediakan keperluan anak masing-masing.

Borang diagihkan di semua 12 daerah di Kedah termasuk melalui cawangan LZNK dan di masjid di seluruh negeri, bagi memudahkan golongan sasar membuat permohonan.

Di Alor Setar sahaja, ribuan rakyat Kedah yang tergolong dalam kumpulan berpendapatan sederhana mula beratur di hadapan Menara LZNK sejak awal pagi.

Pengurus Besar Jabatan Komunikasi Korporat LZNK, Mohd Sani Harun, berkata pengagihan 80,000 borang untuk mendapatkan bantuan zakat RM400 itu dijangka selesai dalam tempoh tiga hari.

Beliau berkata, empat syarat ditetapkan sebelum permohonan boleh dibuat meliputi pendapatan bulanan isi rumah RM3,000 ke bawah, selain mempunyai sekurang-kurangnya tiga anak bagi pasangan suami isteri dan dua anak bagi ibu tunggal.

"Bantuan awal sekolah ini adalah inisiatif LZNK membantu golongan sasar dan kami mendapat maklumat hampir 90 peratus daripada borang habis diedar dalam tempoh beberapa jam.

"Kita sasarkan golongan berpendapatan sederhana seperti petani dan nelayan manakala bantuan RM400 akan dimasukkan ke dalam akaun pemohon dalam tempoh dua minggu selepas diluluskan.

"Kita lihat matlamat membantu tercapai apabila pemohon beratur seawal jam 7.30 pagi untuk mendapatkan borang," katanya di sini, hari ini.

Berita Harian X