Sabtu, 31 Disember 2016 | 11:43pm
Foto Ihsan Pembaca

Pelajar Tingkatan 3 maut, rakan parah

IPOH: Seorang pelajar Tingkatan Tiga Sekolah Menengah Kebangaan (SMK) Dr Megat Khas maut manakala rakan sekolahnya parah selepas motosikal yang mereka naiki merempuh belakang sebuah kereta di Jalan Gunung Lang, berhampiran Pusat Rekreasi Gunung Lang di sini, petang tadi.

Dalam kejadian jam 3.47 petang, Shazmir Hakimi Samsuri, 15, yang menunggang motosikal jenis Honda EX5 maut di lokasi kejadian manakala rakannya, Muhammad Danish Rosli Afandi, 15, parah.

Pemandu kereta Proton Exora berusia 47 tahun pula tidak mengalami kecederaan.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik negeri, Superintendan Wan Jamil Wan Chik, berkata ketika kejadian motosikal ditunggang dua remaja berada di belakang kereta berkenaan dalam perjalanan dari arah Jalan Kuala Kangsar menghala ke pusat rekreasi berkenaan.

Katanya, sebaik tiba di lokasi kejadian, ketika kereta membelok ke kanan, motosikal yang berada di belakang kemudian melanggar kereta terbabit mengakibatkan kedua-dua mangsa terjatuh di atas jalan.

"Akibat kemalangan itu, penunggang motosikal maut di lokasi kejadian manakala pembonceng parah," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Beliau berkata, mayat mangsa dihantar ke Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) dan mangsa yang cedera juga dihantar ke hospital sama untuk menerima rawatan.

Berita Harian X