Sabtu, 31 Disember 2016 | 3:56pm

2 penunggang motosikal maut rempuh treler

NIBONG TEBAL: Akibat mahu berlumba sesama sendiri, dua lelaki maut selepas motosikal yang ditunggangi mereka hilang kawalan dan melanggar belakang sebuah treler membawa muatan besi di Kilometer 159.5 Leburaya Utara Selatan (PLUS), tengah malam tadi.

Dalam kejadian jam 12.16 tengah malam itu, Azmirul Shafiq Azmi, 15, dan Mohamad Syahizad Shah Dali, 21, maut di tempat kejadian akibat kecederaan parah di kepala dan badan.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Selatan, Superintendan Shafee Abdul Samad, berkata kedua-dua mangsa dipercayai menunggang motosikal secara berkonvoi dari Kuala Lumpur ke Georgetown untuk menyambut tahun baharu, malam ini.

"Siasatan awal mendapati kemalangan ini berlaku ketika mangsa berkonvoi bersama lima lagi rakan mereka sebelum menunggang motosikal secara berbahaya sehingga tidak sempat mengelak treler di hadapan.

"Akibat pelanggaran itu, mereka terjatuh dan diseret sejauh 20 meter dan maut di lokasi," katanya.

Mayat kedua-dua mangsa yang berasal dari Nilai, Negeri Sembilan dan Puchong, Selangor itu dibawa ke Hospital Sungai Bakap (HSB) untuk proses bedah siasat.

Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

56 dibaca
Berita Harian X