Sabtu, 31 Disember 2016 | 2:38pm

Gantung PSV jika pandu melebihi had laju


MENTERI Pengangkutan, Datuk Seri Liow Tiong Lai memeriksa tayar bas ketika Ops Jalan di Terminal Bas Bersepadu Selatan (TBS). Turut kelihatan, Ketua Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Datuk Nadzri Siron (kanan) - Foto Asyraf Hamzah

KUALA LUMPUR: Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) akan menggantung lesen kenderaan pengangkutan awam (PSV) pemandu bas sebulan jika didapati bersalah memandu melebihi had laju serta menggunakan telefon sambil memandu.

Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Liow Tiong Lai, berkata pihaknya sudah mengarahkan JPJ untuk mengambil tindakan itu bagi kesalahan berkenaan.

Pada masa sama, katanya, semua syarikat bas ekspres perlu menyediakan pemandu kedua bagi setiap bas yang membabitkan perjalanan melebihi 300 kilometer (km).

"Jika gagal mematuhi peraturan itu, syarikat akan dikenakan penalti RM200. Penalti akan ditingkatkan jika melakukan kesalahan sama berulang kali," katanya.

Beliau bercakap kepada pemberita selepas melakukan lawatan mengejut ke Terminal Bersepadu Selatan (TBS) di sini, pagi ini.

Mengulas lanjut, Tiong Lai berkata, beliau juga akan berunding dengan Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) untuk mengambil tindakan menggantung permit syarikat bas ekspres yang tidak menyediakan pemandu kedua.

"Tindakan tegas ini diambil berikutan pemandu bas ekspres yang terbabit dalam kemalangan ngeri di Muar, Johor hingga mengorbankan 14 penumpang minggu lalu didapati memandu melebihi lapan jam dan tiada pemandu kedua.

"Mengikut rekod, pemandu itu sudah membawa bas dari Pulau Penang ke Johor sebelum kembali ke Kuala Lumpur. Ia salah di sisi undang-undang dan syarikat bas berkenaan akan dihadapkan ke mahkamah," katanya.

Berita Harian X