Sabtu, 31 Disember 2016 | 10:04am

JPJ lancar operasi menjelang Tahun Baharu 2017


Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Mahasan Mustapa , (dua kanan) memeriksa no siri enjin kereta Klon bersama dengan pegawainya dalam Operasi bersepadu yang disertai Bahagian Penguatkuasa JPJ Kelantan, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Agensi Anti Dadah Kebangsaan (Kelantan) dan Jabatan Alam Sekitar (Kelantan) di Akademi JPJ Timur. - Foto Nik Abdullah Nik Omar

KOTA BHARU: Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Kelantan akan memastikan semua bas ekspres di negeri itu memasang serta mematuhi alat pengehad kelajuan (SLD) bagi mengurangkan risiko kemalangan.

Pengarahnya, Mahasan Mustapa, berkata pihaknya dengan kerjasama Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) sudah melancarkan operasi bersepadu untuk memeriksa bas ekspres di Terminal Bas Utama pada 24 hingga 26 Disember lalu.

"Sebanyak 54 bas ekspres diperiksa dan kita mendapati kesemua bas ekspres berkenaan sudah memasang SLD. Kesalahan lain yang dikesan seperti tayar tidak mengikut spesifikasi ditetapkan dan amaran sudah dikeluarkan terhadap pengusaha bas berkenaan," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas operasi bersepadu yang turut disertai Jabatan Alam Sekitar (JAS), Agensi Antidadah Kebangsaan dan polis sempena Tahun Baharu 2017 di sini, malam tadi.

Dalam operasi yang bermula dari jam 8 malam hingga 12 tengah malam tadi, sebuah kenderaan klon jenis Toyota Wish yang dipandu seorang wanita berusia 30-an, disita.

Wanita terbabit dipercayai menggunakan kenderaan yang berasal dari Singapura itu sudah lebih setahun.

Berita Harian X