Jumaat, 30 Disember 2016 | 9:25pm

Myanmar panggil balik 2,415 rakyatnya di Bangladesh


GAMBAR hiasan pekerja asing. - Foto AFP

YANGON: Myanmar bakal mengambil balik 2,415 warganya dari Bangladesh, sebahagian kecil daripada 300,000 rakyat negara itu yang didakwa Bangladesh menjadi pelarian dan seharusnya pulang ke negara asal.

Ketegangan semakin memuncak antara dua negara berjiran itu berpunca daripada layanan Myanmar terhadap etnik minoriti Islam Rohingya, yang melarikan diri berpunca daripada tindakan keras tentera di kawasan sempadan mereka sejak Oktober lalu. Kira-kira 50,000 etnik terbabit melarikan diri.

Selama empat dekad, Myanmar mengatakan Rohingya adalah pendatang haram dari Bangladesh dan menolak untuk memberi kerakyatan kepada mereka.

Bangladesh pula mengatakan Rohingya adalah rakyat Myanmar dan enggan memberi status kerakyatan kepada mereka yang melarikan diri.

Kebanyakan mereka adalah mangsa keganasan dan tindakan keras tentera Myanmar sejak beberapa dekad lalu.

"Menurut data kami, hanya ada 2,415 rakyat Myanmar. Kami tidak tahu mengenai angka 300,000 yang dimaksudkan Bangladesh," kata Ketua Pengarah Kementerian Hal Ehwal Luar, Kyaw Zaya. - REUTERS

Berita Harian X