Jumaat, 30 Disember 2016 | 6:18pm

Bangla culik Bangla, minta wang tebusan RM25,000

SUBANG JAYA: Cubaan sekumpulan empat lelaki warga Bangladesh untuk mendapatkan wang tebusan RM25,000 selepas menculik seorang lelaki rakan senegara, gagal apabila dicekup polis, semalam.

Mangsa yang berusia 33 tahun dan berkerja sebagai tukang membaiki piano di Ampang Point di ibu negara ditemui dalam keadaan tangannya diikat dan dikurung di sebuah rumah papan di Jalan Mengkuang, Kuala Lumpur.

Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Azlin Sadari, berkata abang mangsa menerima panggilan telefon daripada suspek pada jam 1.19 pagi semalam, meminta wang tebusan RM25,000.

Katanya, pengadu yang bekerja sebagai tukang masak di Bandar Sunway di sini, kemudian menelefon adiknya dan mendapati dia berada dalam ketakutan dan menangis serta memberitahu dia diikat beberapa lelaki Bangladesh.

"Suspek mengugut pengadu supaya membayar RM25,000 sebelum jam 5 petang hari yang sama atau adiknya akan dibunuh.

"Sejurus menerima aduan daripada pengadu, sepasukan anggota polis dari Cawangan Jenayah Berat (D9) Ibu Pejabat Polis Daerah Subang Jaya digerakkan dan berjaya mengesan kedudukan suspek," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Katanya, keempat-empat suspek yang berusia 30-an ditahan dalam beberapa serbuan di antara jam 12 tengah hari hingga 11 malam tadi, di sekitar Jalan Mengkuang, Kuala Lumpur.

"Hasil soal siasat ke atas semua suspek, kita mengetahui lokasi mangsa dikurung. Mangsa hanya mengalami cedera ringan di pergelangan tangan akibat diikat.

"Siasatan lanjut mendapati seorang daripada suspek dipercayai merancang penculikan itu untuk membalas dendam terhadap pengadu yang gagal membawa dua adiknya masuk dan bekerja di negara ini selepas menerima bayaran RM10,000," katanya.

Beliau berkata, kes itu disiasat mengikut Seksyen 356 Kanun Keseksaan kerana melarikan orang.

Berita Harian X