Jumaat, 30 Disember 2016 | 4:58pm
JENAZAH bintang legenda, Allahyarham Tan Sri SM Salim selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Jalan Ampang, Kuala Lumpur, kira-kira jam 2.45 petang tadi. - Foto Aizuddin Saad
PENYANYI Ayda Jebat. - Foto Mahzir Mat Isa
ALLAHYARHAM Tan Sri SM Salim dalam kenangan.

Bakat muda sanjungi ketokohan SM Salim

KUALA LUMPUR: Pengorbanan dan komitmen Allahyarham Tan Sri SM Salim dalam memperjuangkan irama Melayu asli dikagumi artis baharu.

Lagu dendangan arwah seperti Apa Dah Jadi, Mohon Kasih, Tak Seindah Wajah, Entahkan Jadi Entahkan Tidak dan Kalau Ku Tahu menjadi rujukan bakat muda dalam mempelajari seni dan lenggok lagu Melayu asli.

Penyanyi Ayda Jebat menyifatkan arwah sebagai seniman agung yang sangat disegani dan menjadi rujukan terbaik dalam genre lagu berentak tradisional.

"Saya kagum dengan bakat arwah yang tidak pernah jemu memperjuangkan muzik tradisional sehingga ke akhir usia. Bagi saya, perginya tiada pengganti.

"Lagu Mohon Kasih antara lagu nyanyian arwah yang sangat saya minati," katanya kepada BH Online.

SM Salim atau nama sebenarnya, Sheikh Salim Sheikh Muhammad Al Mahros, 88, meninggal di rumah anaknya di Sering Ukay, Hulu Klang, pada jam 5.45 petang semalam, akibat sakit tua.

Indah Ruhaila mengaku cukup meminati arwah malah sering mendengar lagunya sejak belajar di sekolah rendah.

Penyanyi lagu Percayalah ini berkata, lagu dendangan arwah menarik minat anak muda untuk mengenali irama tradisional Melayu.

"Saya pasti akan merindui kemerduan suara arwah yang menjadi penyanyi warisan paling saya hormati," katanya.

Bagi Azharina Azhar, negara kehilangan sebutir lagi bintang seni yang banyak memberi sumbangan dalam industri muzik Malaysia.

"Pemergian arwah tidak akan dilupakan anak-anak seni kita. Ini kerana beliau menjadi contoh buat artis baharu dan lama," katanya.

Komposer Ajai menganggap arwah seorang yang berjiwa besar dan kaya dengan pengalaman.

"Pengalaman bekerjasama dengan arwah adalah kenangan berharga buat saya. Arwah tidak pernah lokek ilmu," katanya.

Penyanyi Nora mengenang arwah sebagai seorang yang sangat mesra, merendah diri dan tidak lokek berkongsi ilmu.

Pengacara terkenal, Datuk Aznil Nawawi meletakkan arwah sebagai Bapa Penyiaran Negara atas ketokohannya.

"Saya harap nama arwah tidak akan dilupakan dan diabadikan dalam apa saja projek penyiaran atau hiburan negara," katanya.

Berita Harian X