Jumaat, 30 Disember 2016 | 4:33pm

Pemandu mungkin tertidur, bas dipandu melebihi had laju


BAS Alisan. - Foto hiasan

PUTRAJAYA: Siasatan awal kes kemalangan bas ekspres Alisan Golden Coach di Kilometer 137.3 Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) pada 24 Disember lalu yang mengorbankan 14 nyawa, menunjukkan pemandu bas berkenaan kemungkinan tertidur ketika memandu.

Ketua Pengarah Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS), Prof Dr Wong Shaw Voon, berkata terdapat juga petunjuk bahawa bas itu dipandu melebihi 110 kilometer sejam (km/j), walaupun had kelajuan bas adalah 90 km/j.

"Berdasarkan dinamik pergerakan bas memberikan petunjuk itu (pemandu tertidur), tetapi kita perlu menjalankan analisis lanjut bagi memastikannya termasuk bagaimana syarikat bas menguruskan pemandu.

"Ini hanya petunjuk berdasarkan siasatan awal. Laporan siasatan awal ini akan dibentangkan dalam tempoh seminggu lagi kepada Menteri Pengangkutan (Datuk Seri Liow Tiong Lai), manakala laporan akhir dalam tempoh sebulan selepas itu," katanya selepas menghadiri Mesyuarat Lembaga Pengarah MIROS Keempat 2016 di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Pengerusi MIROS, Tan Sri Lee Lam Thye.

Dalam nahas pada awal pagi berhampiran Kampung Jayor, Pagoh, Muar itu, 14 orang termasuk pemandu bas maut, manakala 16 lagi cedera, selepas bas berkenaan yang dipercayai dipandu laju `terbang' menjunam di cerun dan melanggar tebing konkrit di bawahnya.

Sementara itu, Lam Thye yang juga bekas Pengerusi Panel Penasihat Bebas kepada Kementerian Pengangkutan, berkata susulan kemalangan bas di Kilometer 3.6 Jalan Genting Highlands-Kuala Lumpur pada 2013, pihaknya meminta komitmen kementerian itu melaksanakan 51 syor dicadangkan panel berkenaan bagi pelan tindakan menangani nahas jalan raya.

"Kementerian itu juga memaklumkan akan menubuhkan Lembaga Keselamatan Pengangkutan Malaysia (MTSB) dan ini adalah syor sangat penting.

"MTSB ini kelak berfungsi sebagai badan bebas diberi kuasa dan tanggungjawab untuk menjalankan siasatan tragedi kemalangan yang bukan saja membabitkan bas tetapi juga pengangkutan udara dan maritim," katanya.

35 dibaca
Berita Harian X