Jumaat, 30 Disember 2016 | 3:45pm
TAPAK pelupusan sampah Pulau Burung, Nibong Tebal, dikendalikan syarikat BLP Terang Sdn Bhd. - Foto Danial Saad

Kerajaan PP cadang pindah tapak pelupusan sampah Pulau Burung

PENGERUSI Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Pengurusan Lalu lintas dan Tebatan Banjir negeri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow (tiga dari kanan) diiringi Pengurus Besar Operasi BLP Terang Sdn Bhd, Nor Azman Othman (dua dari kanan) ketika meninjau kerja-kerja di tapak pelupusan sampah Pulau Burung, Nibong Tebal. - Foto Danial Saad

NIBONG TEBAL: Kerajaan DAP Pulau Pinang hari ini, mendakwa akan mempertimbangkan cadangan menutup kawasan tapak pelupusan sampah di Pulau Burung di sini, susulan isu pencemaran yang didakwa berlaku di kawasan berkenaan.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Pengurusan Lalu Lintas dan Tebatan Banjir negeri, Chow Kon Yeow, berkata pihaknya juga bercadang memindahkan tapak pelupusan berkenaan di kawasan lain, jika ada keperluan berbuat demikian.

Beliau berkata, pihaknya masih menyiasat aduan pencemaran air yang berlaku di kawasan tapak berkenaan dan akan mengambil tindakan mengikut peruntukan sedia ada.

"Kerajaan negeri sememangnya sudah ada cadangan memindahkan tapak pelupusan ini ke kawasan baharu dan kita sudah mengenal pasti tempat untuk tujuan terbabit.

"Bagaimanapun, hasil tinjauan hari ini mendapati syarikat kontraktor mengendalikan tapak pelupusan sampah berkenaan menjalankan proses pelupusan sampah dengan sistematik," katanya selepas melawat tapak pelupusan sampah Pulau Burung di sini, hari ini.

BH sebelum ini mendedahkan pencemaran yang berpunca daripada tapak pelupusan sampah Pulau Burung yang bukan saja menimbulkan bau busuk kepada penduduk sekitar, tetapi air larut resapan mengubah kualiti air perairan itu hingga hidupan laut turut pupus.

Berita Harian X