Jumaat, 30 Disember 2016 | 7:47am

Seorang parah, 3 cedera kemalangan treler dan lori

AYER KEROH: Empat lelaki cedera termasuk seorang parah dalam kemalangan membabitkan sebuah treler membawa muatan kelapa dan sebuah lori di Kilometer 202.3, Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) arah utara, di sini, awal pagi ini.

Dalam kejadian kira-kira jam 3.15 pagi itu, treler 21 tan membawa muatan kelapa dianggarkan seberat 30 tan, dipercayai melanggar bahagian belakang lori 10 tan membawa set generator, sebelum treler itu terbabas di pembahagi tengah jalan dan memasuki lorong paling laju arah bertentangan serta terbalik.

Kemalangan itu turut mengakibatkan beribu-ribu kelapa bertaburan di atas jalan raya, manakala lori membawa set generator pula terbabas dan termasuk ke dalam longkang di bahagian kiri lebuh raya.

Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat Ayer Keroh, Dzulkarnain Abd Halim, berkata sebaik tiba di lokasi kejadian terdapat empat mangsa termasuk pemandu treler berusia 27 tahun yang parah dan patah kaki kiri.

"Tiga lagi mangsa lain cedera ialah pemandu lori dan kelindan lori serta treler.

"Bagaimanapun, tiada mangsa tersepit dan kerja menyelamat mengambil masa kira-kira 20 minit," katanya ketika dihubungi, sebentar tadi.

Beliau berkata, semua mangsa dikejarkan ke Hospital Alor Gajah menggunakan dua ambulans hospital dan Unit Perkhidmatan Perubatan Kecemasan (EMRS).

BERIBU-RIBU kelapa bertaburan di atas jalan raya selepas sebuah treler membawa muatan itu terbalik dalam kemalangan di Kilometer 202.3, Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) arah utara, Ayer Keroh, awal pagi ini. - Foto Muhammad Hatim Ab Manan
Berita Harian X