Jumaat, 30 Disember 2016 | 6:31am

Percaturan pembangkang tiada kesudahan

SEHARI sebelum Mahkamah Persekutuan menolak permohonan semakan Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk mengetepikan sabitan dan hukuman kes liwat dihadapinya, Pakatan Harapan (PH) yang dibarisi PKR, DAP dan Parti Amanah Negara bersama Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) menandatangani perjanjian bersama, kerangka kerjasama antara kedua pihak.

Perjanjian meminggirkan PAS yang dimeterai pada 13 Disember itu, dilihat antara usaha pembangkang untuk mewujudkan persepsi dalam kalangan rakyat berhubung kerjasama dan kesatuan dicapai mereka dalam usaha menyaingi Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

Bagaimanapun, perjanjian itu memberi gambaran jelas berhubung kepentingan PAS dalam menumbangkan kerajaan BN yang memiliki mandat sehingga Jun 2018 apabila empat parti itu bersedia berunding dengan parti yang belum berada di dalam perjanjian untuk memastikan seboleh mungkin satu calon saja yang akan mewakili pembangkang.

Umum mengetahui pendirian tegas PAS untuk tidak mempunyai sebarang hubungan atau kerjasama dengan DAP dan parti serpihan mereka serta mana-mana pihak yang berkeras terhadap Islam. Malah PAS bersedia menghadapi saingan tiga atau lebih penjuru pada PRU-14 kerana tidak tertakluk atau dipengaruhi dengan mana-mana pihak dalam membuat sebarang perjanjian pilihan raya.

Undang pelbagai tanggapan

Penegasan berulang kali dalam isu kerjasama dengan DAP dan Parti Amanah Negara itu mengundang pelbagai tanggapan dan pandangan rakyat sehingga wujud cubaan mengaitkan isu penyatuan dan kerjasama antara PAS dan UMNO.

Pada masa sama PPBM khususnya presiden parti itu, Tan Sri Muhyiddin Yassin terus menyimpan hasrat untuk melihat PAS berada dalam gabungan pakatan pembangkang demi meraih sokongan pengundi Melayu, sekali gus menggambarkan kepentingan PAS dalam memperkukuhkan kekuatan pembangkang menghadapi PRU-14.

Pada PRU-13, pakatan pembangkang yang menggabungkan PAS, PKR dan DAP berjaya memenangi 89 kerusi daripada 222 kerusi Parlimen, menafikan BN majoriti dua pertiga Parlimen yang dicatatkan pada PRU sebelumnya.

Persoalannya, mampukah PH yang ditubuhkan pada 22 September tahun lalu dengan kerjasama parti serpihan UMNO mengulangi kejayaan pada PRU-14 ketika PAS berpatah arang, berkerat rotan dengan DAP dan Parti Amanah Negara?.

Menerusi portal rasmi DAP, Roketkini.com, parti itu menyalahkan PAS yang didakwa enggan bertolak ansur dalam isu pelaksanaan hukum hudud di Kelantan walaupun jelas DAP mendakwa ia dimanipulasi oleh UMNO. DAP juga mendakwa PAS beberapa kali melanggar dasar bersama sejak PRU-13 dan apabila dikritik, pimpinan PAS menuduh DAP sebagai angkuh.

Sewajarnya Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak pada Mei lalu memberi cukup pengajaran kepada pembangkang yang berdepan isu pertelagahan prinsip dan perebutan kerusi apabila hanya 10 daripada 80 kerusi yang ditandingi berjaya ditawan iaitu tiga milik PKR dan bakinya dimenangi DAP, manakala semua calon PAS dan Parti Amanah Negara tewas termasuk ada yang hilang deposit.

Gagal capai kata sepakat

Kegagalan mencapai kata sepakat dalam pengagihan kerusi di Sarawak menjadi bukti bahawa pakatan pembangkang berada dalam keadaan yang meragukan rakyat untuk diberikan kepercayaan melalui peti undi.

Bagaimanapun, kekalahan teruk itu tidak dijadikan iktibar untuk menghadapi Pilihan Raya Kecil (PRK) Sungai Besar dan Kuala Kangsar berikutan tindakan Parti Amanah Negara yang nekad memecah undi pembangkang apabila meletakkan calon di kedua-dua kerusi yang tradisinya milik PAS. Hasilnya, calon BN di dua kerusi itu berjaya meraih kemenangan besar.

Tanpa penyertaan PAS, konsep satu lawan satu yang dilaungkan pembangkang bagi menghadapi PRU-14 pastinya tidak dapat direalisasikan walaupun pada awalnya parti siasah itu turut bersetuju dengan formula penyelesaian berkenaan.

'Jatuh ditimpa tangga'

Keadaan pembangkang ketika ini boleh diibaratkan 'sudah jatuh ditimpa tangga' apabila keputusan Mahkamah Persekutuan terhadap Anwar menyaksikan Ketua Umum PKR itu hanya boleh bertanding pada PRU selepas 2023, iaitu lima tahun selepas menjalani hukuman yang dikenakan terhadapnya.

Ini bermakna, hajat pembangkang untuk melihat Anwar memegang jawatan Perdana Menteri selepas PRU-14 tidak kesampaian sehingga timbul konflik selepas perjanjian bersama, kerangka kerjasama antara PH dan PPBM dimeterai apabila sebahagian besar penyokong kedua-dua pihak mula mempersoalkan siapa bakal Perdana Menteri jika BN berjaya ditumbangkan.

Jika penyokong PH mahukan Anwar menjadi Perdana Menteri, sudah pasti penyokong PPBM mahu Muhyiddin memegang tampuk kuasa sehingga timbul cadangan daripada Penasihat DAP, Lim Kit Siang supaya Presiden PKR, Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dan Muhyiddin masing-masing menjadi Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri sementara sehingga Anwar dibebaskan jika pembangkang memenangi PRU-14.

Percaturan politik Kit Siang yang diakui dibuat tanpa konsensus PH itu membuktikan dakwaan bahawa DAP adalah ketua de facto pakatan, sekali gus meletakkan parti itu sebagai mastermind bagi penentuan jawatan dalam barisan kepemimpinan pembangkang.

Berita Harian X