Jumaat, 30 Disember 2016 | 12:07am
Amri melayan peminat  MU selepas pasukan Hang Tuah berdepan JDT II di Stadium Hang Tuah malam tadi. - Foto Nazri Abu Bakar

Aguero, Amri dan Spasojevic kian serasi bergandingan


Ilja Spasojevic (kiri)  pada aksi berdepan JDT II di Stadium Hang Tuah. - Foto Mohd Zuhairi Zuber

MELAKA: Melaka United (MU) memperaga persembahan membanggakan selepas mengikat Johor Darul Ta'azim II (JDT II) 1-1 pada aksi persahabatan pramusim di Stadium Hang Tuah, sebentar tadi.

Bagaimanapun, barisan pelawat terlebih dahulu membuka jaringan menerusi pemain muda Mohd Hadi Fayyad pada awal babak kedua dan mengejutkan kira-kira 5,000 penyokong tuan rumah yang hadir.

Namun, jaringan terbabit tidak melunturkan perjuangan skuad bimbingan Eric Willams apabila penyerang sensasi MU, Amri Yahyah, berjaya melepasi halangan pertahanan lawan untuk menolak bola ke arah Ilja Spasojevic, yang mudah menolak masuk gol penyamaan skuad Hijau Putih pada minit ke-67.

Williams mengotakan rancangannya dengan menggandingkan Spasojevic, Amri dan bintang Argentina, Sergio Aguero di barisan depan pada babak kedua.

Ia nyata memperlihatkan perubahan drastik berbanding 45 minit pertama tanpa Amri dan Aguero.

Apapun, perlawanan berkenaan pentas buat Williams menguji semua pemainnya, termasuk memasukkan Mohd Fauzi Roslan, Alif Samsudin dan Nurshamil Abd Ghani.

Turut menyaksikan perlawanan adalah Ketua Menteri Melaka, yang juga Presiden Persatuan Bolasepak Melaka United (MUSA), Datuk Seri Ir Idris Haron dan Timbalan Presiden MUSA, Datuk Wira Mohd Yusoff Mahadi.

Berita Harian X