Jumaat, 30 Disember 2016 | 12:04am

Tong gas, tayar lori teman senaman Mimi

BACHOK: Gelagat seorang gadis berusia 23 tahun, menjadikan tong gas sebagai alatan melakukan pelbagai rutin senaman bagi mengekalkan kecergasan, pernah mencetuskan perdebatan dalam kalangan netizen tempatan.

Video gelagat Nor Syarmimi Sallehudin melakukan pelbagai aksi bersama tong gas kosong seberat 16.6 kilogram itu, dianggap pelik oleh sesetengah pihak, hingga ada yang tergamak mendoakan dia mandul ekoran rutin senaman terbabit.

Viral yang tercetus juga menyebabkan Nor Syarmimi digelar sebagai 'gadis tong gas' oleh sesetengah pihak, namun graduan Diploma Fisioterapi Universiti Malaysia Kuala Lumpur (UniKL) itu tidak mengambil peduli pandangan negatif yang dilemparkan.

Dia yang mesra dipanggil Mimi, berkata senaman terbabit tidak dilakukan secara semberono, sebaliknya menggunakan teknik tertentu, bagi mengelakkan kecederaan ataupun 'jatuh peranakan' seperti didakwa sesetengah pihak yang mengkritiknya.


NOR Syarmimi menunjukkan kepada rakannya cara mengangkat tong gas dengan cara yang betul. - Foto Syamsi Suhaimi

NOR Syarmimi mengangkat tong gas kosong seberat 16.6 kilogram sebagai rutin senaman setiap hari. - Foto Syamsi Suhaimi

"Segala-galanya berpunca daripada hasrat saya berkongsi rutin senaman dilakukan menggunakan tong gas, tanpa menduga ia menjadi viral, mungkin kerana pandangan masyarakat yang skeptikal melihat golongan wanita berbuat demikian.

"Padahal, jika tahu teknik dan anatomi badan, senaman ini tidak sukar, malah penggunaan tong gas juga lebih jimat," katanya ketika ditemui BH di rumahnya dekat Kampung Kubang Golok, Bachok.

Nor Syarmimi berkata, dia menggunakan tong gas sebagai alatan bersenam kerana lebih jimat, selain mampu mempelbagaikan teknik bersesuaian dengan bentuk silinder dan berat tong gas, yang sesuai untuk golongan wanita.

Katanya, rutin senaman sebenarnya sudah lama menjadi gaya hidupnya kerana berpengalaman lebih empat tahun sebagai jurulatih kecergasan di beberapa pusat gimnasium sekitar Kota Bharu, sebelum mengambil keputusan menjadi jurulatih kecergasan peribadi.

Katanya, berbekalkan tong gas, pelbagai bentuk senaman boleh dilakukan bagi mengecilkan perut, paha dan punggung dengan senaman yang dikenali sebagai abs roller, deadlift, lunges, squat dan walking squat.


NOR Syarmimi berjalan dengan mengangkat tayar lori seberat 80 kilogram. - Foto Syamsi Suhaimi

"Selain tong gas, saya juga gunakan tayar lori seberat 80 kilogram untuk membuat aktiviti sendiri atau ketika sesi latihan bersama pelanggan, selain alatan biasa senaman seperti plate, dumbbell dan stepboard," katanya yang mengenakan caj serendah RM40 bagi satu sesi selama 90 minit.

Anak ketujuh daripada lapan beradik itu, berkata kelebihan rumahnya yang berdekatan Pantai Irama di sini, memberi kelebihan buat pelanggannya melakukan senaman sambil menikmati pemandangan yang cantik, sekali gus membuatkan mereka bersemangat menurunkan berat badan.

Mimi berkata, selain menumpukan senaman, dia juga turut memasarkan makanan kesihatan berasaskan bahan organik dan air detoks, yang mendapat permintaan dalam kalangan atlit bina badan, doktor, guru dan penduduk setempat.

"Saya menyediakan 10 menu berlainan setiap hari seperti teriyaki ayam, masakan salmon dan menggunakan bahan organik seperti barli, oat, sesame seed dan gula tebu organik, selain pengganti nasi seperti barli putih, 'quinoa' dan couscous pada harga RM10 sahaja.


NOR Syarmimi menunjukkan makanan kesihatan dan air detoks yang dihasilkannya sendiri. - Foto Syamsi Suhaimi

NOR Syarmimi menunjukkan makanan kesihatan yang dihasilkannya sendiri. - Foto Syamsi Suhaimi

"Semua makanan sihat ini dipasarkan di bawah jenama Makane Sihat yang saya promosikan menerusi laman Instagram," katanya yang memasarkan makanan terbabit secara penghantaran tunai di sekitar Bachok, Pengkalan Chepa dan Kota Bharu.

Mimi berkata, beliau menitikberatkan aspek pemakanan dan senaman sebagai langkah terbaik memastikan kesihatan diri pelanggan yang mengikuti kelasnya pada tahap terbaik, apatah lagi makanan mempengaruhi 80 peratus punca kegemukan.

"Selain senaman, saya juga ajar dan beri nasihat kecergasan serta pemakanan kepada pelanggan kerana kurus saja tidak semestinya sihat.

"Badan yang sihat adalah apabila kita tidak malas untuk mengeluarkan peluh," kataya yang turut meminati sukan lasak dan berbasikal.


NOR Syarmimi melakukan senaman ringan. - Foto Syamsi Suhaimi

INFO: Nor Syarmimi Sallehudin

  • Graduan Diploma Fisioterapi UniKL

  • Digelar Gadis Tong Gas

  • Tong gas kosong 16.6kg dan tayar lori 80kg antara alatan bersenam

  • 4 tahun pengalaman jurulatih kecergasan

  • Pasarkan menu makanan sihat jenama Makane Sihat

  • 10 menu Makane Sihat sebagai pilihan pelanggan.
113 dibaca
NOR Syarmimi mengajar rakannya mengangkat tong gas kosong dengan cara yang betul. - Foto Syamsi Suhaimi
SENAMAN menggunakan tong gas untuk mengecilkan perut, paha dan punggung. - Foto Syamsi Suhaimi
Berita Harian X