Jumaat, 30 Disember 2016 | 12:00am

Oat cantikkan kulit wajah

SALAH satu kunci tubuh badan sihat adalah menerusi pengambilan oat. Kesan pengambilannya mengenyangkan lebih lama kerana bahan ini kaya dengan kandungan serat, karbohidrat dan zat besi mampu diserap baik tubuh.

Namun, bukan itu saja yang menjadi tarikan bahan semula jadi ini, sebaliknya turut bermanfaat untuk kecantikan diri sekiranya disapu terus pada kulit.

Menurut satu kajian diketengahkan pakar kulit, Dr Susan Stuart, dilaporkan dalam Huffington Post, oat mengandung khasiat antiinflamasi dan antioksidan sangat baik untuk kulit sensitif serta mengatasi pelbagai masalah kulit.

Jika selama ini kita hanya menjadikan pengambilan oat berkhasiat untuk penjagaan tubuh, kini boleh digunakan untuk rejim penjagaan kulit.

Oat dikatakan menjadi antara bahan penjagaan kulit semula jadi terbaik kerana kemewahan kandungan protein, vitamin B dan Omega 3 baik untuk kesihatan kulit.


OAT dikatakan menjadi antara bahan penjagaan kulit semula jadi terbaik kerana kemewahan kandungan protein, vitamin B dan Omega 3 baik untuk kesihatan kulit.

* Atasi masalah kaki pecah-pecah

Selain menggunakan krim kaki, oat juga dapat dijadikan sebagai lulur kaki bagi menghilangkan kesan kulit kering. Kandungan antiinflamasi dan antioksidan membuat kulit mati terangkat sempurna.

* Pembersih wajah

Oat sesuai digunakan untuk semua jenis kulit dan boleh dijadikan sebagai bahan pembersih kulit wajah kerana ia berupaya melembapkan secara semula jadi. Penggunaannya sesuai untuk semua jenis kulit wajah, termasuk berminyak dan jerawat kerana kandungan saponin.

Saponin dapat menyerap minyak dan juga membersihkan liang roma tanpa meninggalkan kesan luka terhadap kulit sensitif.

Ia juga dapat mengecilkan kembali liang roma terbuka, sekali gus menanggalkan kotoran degil dari berkumpul di kawasan liang roma kulit wajah.

* Kembalikan kelembapan kulit wajah

Kandungan polisakarida dalam oat dapat menangani masalah kulit kering dan kusam.

Khasiat zat ini dapat mengubah tekstur oat menjadi kenyal seperti agar-agar jika terkena air dan melindungi kulit dari dehidrasi sehingga kulit tidak mudah kering dan kusam.

Kandungan nutrisi dan polisakarida dapat memberikan kelembapan pada kulit.

* Cerahkan ton dan haluskan kulit

Kandungan khasiatnya tinggi dapat mengembalikan keremajaan, sekali gus memberikan kesan kulit lebih cerah dan bebas dari kekotoran degil.

Selain menanggalkan sel kotor pada wajah bagi memastikan tekstur kulit sekata, oat juga mengurangkan bekas jerawat untuk kulit kelihatan normal.

* Lembutkan kulit

Oat juga dapat mengembalikan tangan kasar selepas banyak melakukan kerja rumah. Ia juga membantu menghilangkan kulit mati dan kotoran dengan baik.

* Bantu kulit bebas dari bakteria

Penghasilan minyak berlebihan akan menutupi liang roma, sekali gus mengakibatkan pengumpulan minyak muka berlebihan. Keadaan ini juga menjadi punca kepada kulit bermasalah dan jerawat.

Selain membersihkan minyak wajah berlebihan, oat juga dapat menanggalkan sel kulit mati dan kotoran degil tidak nampak oleh mata kasar pada kulit wajah.

* Tanggalkan sel kulit mati

Kulit perlu menjalani proses regenerasi untuk menghasilkan sel kulit baru dan sihat. Oleh itu proses penyingkiran atau pengelupasan amat penting untuk membolehkan kulit baru lebih sihat dan segar membentuk pada wajah.

Penggunaan oat sebagai bahan lulur juga tidak memberikan tekstur kasar untuk kulit wajah sensitif atau lembut.

Teksturnya terasa lembut tetapi untuk menanggalkan sel kulit mati.

* Menyerap lebihan minyak pada rambut

Selain mampu menyerap dan menghilangkan lebihan minyak serta kotoran pada kulit, oat juga membantu menyerap latihan minyak dan kotoran pada rambut.

Selain itu, penggunaan oat di kulit kepala juga dapat membantu mengurangkan kegatalan pada kulit kepala.

Info

  • Amalan penjagaan kulit menggunakan oat sudah pun bermula sejak zaman Mesir Purba.
  • Masyarakat kuno menjadikan oat sebagai bahan untuk menghilang kegatalan kulit atau kesan gigitan serangga.
  • Kemewahan khasiat serat dan asid amino dalam oat penting untuk membekalkan kecantikan kulit.
Berita Harian X