Khamis, 29 Disember 2016 | 11:04pm

Pembelian EHP penting untuk kemajuan syarikat - FELDA

KUALA LUMPUR: Keputusan FELDA untuk membeli pegangan dalam PT Eagle High Plantation Tbk (EHP) Indonesia, penting bagi kemajuannya.

Ini berikutan syarikat itu telah sampai ke tahap yang mana ia perlu membuat perubahan selepas enam dekad berada dalam industri.

Timbalan Pengarah Besar FELDA (Pengurusan), Muzzammil Mohd Nor, berkata FELDA tidak akan berkembang jika tidak berbuat demikian, sedangkan pesaing dalam sektor minyak sawit global semakin maju ke hadapan.

Menjelaskan rasional di sebalik janji niaga itu, beliau berkata, ia akan menjadikan FELDA antara syarikat perladangan sawit terbesar dunia.

"Jika kami tidak melaksanakan janji niaga ini, kami akan ketinggalan dan terpaksa menyaksikan pesaing kami berkembang pesat dalam sektor yang amat menguntungkan ini," katanya dalam satu temu bual.

FELDA menerusi cabang pelaburannya, FIC Properties Sdn Bhd (FICP) melabur sebanyak AS$505.4 juta untuk membeli 37 peratus pegangan dalam EHP daripada Rajawali Group.

EHP adalah satu daripada syarikat perladangan sawit tersenarai terbesar di Indonesia.

Mengenai dakwaan FELDA tidak mampu membiayai janji niaga terbabit, Muzammil berkata, FELDA memperoleh pembiayaan kerajaan bagi janji niaga itu.

"Kerajaan menyokong inisiatif kami untuk mengembangkan operasi menerusi janji niaga ini kerana ia bukan hanya memberi manfaat kepada FELDA, tetapi juga semua pemegang kepentingan dalam industri," katanya.

Beliau juga menyangkal dakwaan bahawa janji niaga itu terlalu mahal.

Katanya, harga itu dicapai setelah gmengambil kira pelbagai faktor, termasuk kualiti aset perladangan, kekuatan operasinya, kestabilan kewangan, prospek pertumbuhan ekonomi dan ketersediaan pemilikan.

"Kami mengambil masa untuk menjalankan kajian terperinci. Kami bukan hanya sekadar melihat aset itu, tetapi juga berbincang dengan peladang Indonesia yang memberikan kami pandangan dan maklum balas berharga mengenai syarikat itu.

"Terdapat juga banyak terma kami rundingkan dalam perjanjian jual beli ini, yang akan melindungi pelaburan dan kepentingan kami," katanya.

Mengulas lanjut, Muzammil berkata, harga saham itu ada masanya tidak mencerminkan nilai sebenar sesebuah syarikat atas pelbagai alasan, termasuk keadaan kewangan, sentimen pasaran serta kekurangan jumlah dagangan.

Ini khususnya bagi syarikat perladangan minyak sawit mentah (MSM) kerana mengambil kira asas perniagaan mereka yang berintensifkan modal.

Malah, metrik penilaian relevan yang diguna pakai di peringkat global adalah nilai perusahaan (EV) sehektar berbanding harga saham.

"Atas alasan itu, harga belian kami adalah agak memadai berbanding urus niaga lain membabitkan pembelian syarikat perladangan Indonesia oleh pihak lain sebelum ini," katanya. - BERNAMA

Berita Harian X