Khamis, 29 Disember 2016 | 10:31pm
Anak Allahyarham Tan Sri SM Salim, Shamsul Salim, 51, ketika ditemui pemberita di kediaman ayahnya di Ukay Perdana. - Foto BERNAMA

SM Salim minta usah putarkan lagunya


Anak Tan Sri SM Salim, Shamsul Salim, 51 di Ukay Perdana. - Foto Owee Ah Chun

HULU KLANG: Penyanyi legenda lagu Melayu asli, Allahyarham Tan Sri SM Salim, pernah berpesan kepada anaknya supaya semua lagu dan video muziknya tidak dimainkan selepas ketiadaannya.

Anak keenamnya, Sheikh Shamsul Sheikh Salim, 51, berkata, arwah pernah menyuarakan soal khazanah lagu, namun beliau menjelaskan perkara itu sukar dilakukan.

"Saya pernah cakap ayah adalah public figure. Jadi, kalau tersebar berita dia jatuh pun, orang akan datang.

"Saya tidak ada hak untuk halang media berhenti memutarkan lagu dan muzik video dia," katanya ketika ditemui BH Online.

Allahyarham yang menderita sakit saraf sejak 17 tahun lalu, meninggal dunia dikelilingi isteri, anak dan cucu di rumah seorang anaknya di Sering Ukay, Ukay Perdana, di sini, 5.45 petang tadi.

SM Salim atau nama sebenarnya, Sheikh Salim Sheikh Muhammad Al Mahros meninggalkan isteri, Puan Sri Aishah Abdul Ghani dan tujuh anak iaitu Sheikh Samsudin, 68; Siti Noraishah, 60; Siti Nur Huda, 56; Siti Maheran, 54; Siti Huzayah, 53; Sheikh Shamsul, 51 dan Siti Zubaidah, 35.

Sheikh Shamsul berkata, beliau juga tidak marah ada individu berkongsi berita kematian ayahnya sebelum beliau menemui ajal.

"Semua orang nak jadi yang pertama. Terpulang pada individu untuk mencari yang sahih dengan tidak. Kalau tidak benar, biar dia jawab di sana nanti," katanya.

Bercerita detik terakhir, Sheikh Shamsul berkata, ayahnya terjaga beberapa kali dan meminta minuman, awal pagi tadi, sebelum menghembuskan nafas terakhir.

Katanya, arwah terjaga kira-kira jam 11 malam tadi ketika Datuk Ramli MS datang menziarah dan mulutnya kelihatan berkata sesuatu tetapi tidak keluar suara.

"Sepanjang malam tadi, saya ada di sisinya. Ayah terjaga kira-kira jam 3 pagi, diikuti 4.30 pagi dan 5.45 pagi kerana meminta air.

"Saya beri ayah minum air Zam Zam. Jam 6 pagi tadi saya nampak denyutan nadinya kembali normal sebelum menurun ke paras tidak normal dua jam kemudian," katanya.

Berita Harian X