Khamis, 29 Disember 2016 | 4:14pm

Kesedaran bayar zakat lonjak kutipan di Wilayah Persekutuan

TIMBALAN Ketua Pegawai Eksekutif Pusat Pungutan Zakat Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (PPZ-MAIWP), Abdul Hakim Amir Osman. - Foto Halim Salleh

KUALA LUMPUR: Jumlah kutipan zakat di Wilayah Persekutuan tahun ini menyaksikan peningkatan berbanding tahun lalu.

Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Pusat Pungutan Zakat Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (PPZ-MAIWP), Abdul Hakim Amir Osman, berkata peningkatan itu kesan pelaksanaan program kesedaran yang dijalankan sepanjang tahun.

Katanya, beberapa program PPZ-MAIWP berjaya meningkatkan kesedaran orang ramai mengenai tanggungjawab Rukun Islam yang wajib dilunaskan bagi umat Islam itu.

Bagaimanapun, beliau enggan mendedahkan jumlah kutipan zakat pada tahun ini dan memaklumkan ia akan diumumkan dalam tempoh terdekat.

"Sepanjang tahun ini, PPZ banyak melaksanakan program bagi menyuntik semangat kepada umat Islam menunaikan zakat dan hasilnya kita lihat ramai yang datang membuat pembayaran, sekali gus membantu asnaf yang memerlukan.

"Kebanyakan daripada mereka datang membuat bayaran sendiri di kaunter, namun kita tetap menggalakkan mereka yang tidak sempat ke kaunter membuat pembayaran melalui portal PPZ-MAIWP," katanya pada sidang media Kempen Berzakat di kaunter PPZ-MAIWP Masjid Negara, di sini, hari ini.

Terdahulu, selebriti terkenal tanah air, Mawi, Hafiz Hamidun dan Norman Hakim turut menjayakan kempen itu di kaunter beberapa lokasi PPZ-MAIWP termasuk di Masjid Negara.

Abdul Hakim berkata, orang ramai diseru membayar zakat sebelum berakhir tahun 2016 menerusi 11 kaunter cawangan PPZ-MAIWP di sekitar Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan.

"Kaunter berkenaan dibuka daripada jam 8.15 pagi sehingga 8 malam, manakala kaunter PPZ-MAIWP di UTCKL Pudu Sentral beroperasi daripada jam 8.15 hingga 10 malam," katanya.

Berita Harian X