Khamis, 29 Disember 2016 | 3:48pm

3 kementerian kawal selia penggunaan rokok elektronik

KPDNKK, Kementerian Kesihatan dan MOSTI akan bertanggungjawab mengawal selia penggunaan dan penjualan rokok elektronik dan vape di negara ini. - Foto hiasan

PUTRAJAYA: Tiga kementerian akan bertanggungjawab mengawal selia penggunaan dan penjualan rokok elektronik dan vape di negara ini.

Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) memaklumkan, kementerian yang terbabit termasuk kementerian berkenaan, Kementerian Kesihatan serta Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), seperti diputuskan dalam mesyuarat Kabinet pada 28 Oktober lalu.

"Kementerian Kesihatan akan mengawal selia penjualan cecair mengandungi nikotin mengikut Akta Racun 1952 dan Akta Jualan Dadah 1952. Justeru, penjualan bahan mengandungi nikotin hanya dibenarkan farmasi berlesen dan pengamal perubatan berdaftar untuk tujuan rawatan perubatan.

"Kementerian itu juga akan mengawal selia penjualan, penajaan dan pelabelan berkaitan kesihatan bagi cecair tanpa nikotin rokok elektronik serta vape dan larangan penggunaannya bagi individu bawah umur," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

KPDNKK berkata, MOSTI melalui Jabatan Standard Malaysia akan membangunkan standard bagi bateri, peranti dan pembungkusan cecair tanpa nikotin mengikut Akta Standard Malaysia 1996.

"KPDNKK pula akan mengawal selia dan menguatkuasa Peraturan Standard Keselamatan bagi bateri serta peranti rokok elektronik dan vape mengikut Akta Perlindungan Pengguna 1999 [Akta 599] serta penandaan maklumat berkaitan pada label peranti dan cecair tanpa nikotin melalui akta sedia ada seperti Akta Perihal Dagangan 2011 (Akta 730), Akta Perlindungan Pengguna 1999 (Akta 599), Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 (Akta 723) serta Akta Timbang dan Sukat 1972 (Akta 71).

"Akta pelesenan, pengeluaran, pengedaran termasuk import eksport dan peruncitan serta cecair tanpa nikotin akan turut dikawal selia KPDNKK," katanya.

KPDNKK berkata, berikutan keputusan itu, Kementerian Kesihatan akan menggubal undang-undang baharu bagi menggantikan Peraturan-Peraturan Kawalan Hasil Tembakau 2004, manakala KPDNKK pula menggubal undang-undang baharu berhubung kawalan rokok elektronik dan vape yang tidak mengandungi nikotin dalam tempoh dua tahun.

Sepanjang tempoh peralihan itu, katanya, penjualan rokok elektronik dan vape adalah tertakluk kepada undang-undang serta peraturan sedia ada yang dikawal selia kementerian dan agensi berkaitan.

"Kementerian Kesihatan akan menjalankan kajian lanjut terhadap kesan penggunaan rokok elektronik dan vape terhadap kesihatan, manakala KPDNKK akan menjalankan kajian keadah pengawal seliaan alat itu ke arah model terbaik di dunia.

"KPDNKK mahu semua pengusaha vape mematuhi undang-undang sedia ada dan mendapatkan kelulusan ujian pengesahan daripada SIRIM serta memberi jaminan ke atas barangan berkenaan selamat digunakan sebelum diedar atau dijual kepada pengguna," katanya.

Berita Harian X