Khamis, 29 Disember 2016 | 2:04pm

2 lagi pistol dirampas susulan kes gaduh di kafe


ABDUL Jalil (kanan) bersama pegawainya menunjukkan dua pucuk pistol dan sejumlah peluru hidup yang dirampas dalam serbuan di dua buah rumah berasingan dalam Ops Api Laras Kawai di Kulim, pada sidang media Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kedah, Jalan Stadium, Alor Setar, hari ini. - Foto Sharul Hafiz Zam

ALOR SETAR: Polis menahan seorang lelaki dan merampas dua senjata api termasuk satu pistol angin bersama sejumlah peluru hidup dalam dua serbuan berasingan di sekitar Kulim, dekat sini.

Kejayaan itu susulan insiden pergaduhan di sebuah kafe di Kulim pada 24 Disember lalu, menyebabkan polis menahan seorang lelaki berusia 34 tahun bersama dua wanita dan merampas sepucuk revolver bersama sebutir peluru hidup.

Timbalan Ketua Polis Kedah, Datuk Abdul Jalil Hassan, berkata susulan tangkapan pertama itu, polis kemudian menahan seorang lagi suspek berusia 32 tahun yang dikatakan mempunyai kaitan dengan pemilikan revolver yang dirampas.

"Susulan soal siasat dilakukan, polis menyerbu sebuah rumah dua tingkat di Lorong Sekolah Convent Kulim dan menemui satu beg plastik hitam mencurigakan di lokasi tersembunyi di halaman rumah.

"Pemeriksaan lanjut kemudian mendapati ia mengandungi sepucuk pistol semi automatik jenis Glock 3C Austria .45 bersama 49 peluru hidup," katanya.

Abdul Jalil berkata, soal siasat ke atas suspek kemudian membawa polis ke satu lagi kediaman di Taman Selasih di Kulim dan menemui sepucuk pistol angin berwarna perak berserta sarung serta dua butir peluru hidup .38.

"Semua rampasan ditemui ditanam di kawasan halaman rumah. Kita turut menemui sepasang gari berwarna hitam dan topeng muka.

"Kedua-dua suspek kini direman sehingga Sabtu ini untuk tindakan lanjut dan polis masih menyiasat motif pemilikan semua senjata api serta peluru yang dipercayai mempunyai kaitan dengan kegiatan kongsi gelap," katanya.

Beliau berkata, kes kini disiasat mengikut Seksyen 8 Akta Senjata Api 1971 (Penalti Lebih Berat) dan Seksyen 8(a) Akta Senjata Api 1960 kerana kesalahan memiliki senjata api serta peluru.

"Kita juga melakukan siasatan mengikut Seksyen 36 Akta Senjata Api 1960 kerana kesalahan pemilikan senjata api tiruan," katanya.

44 dibaca
Berita Harian X