Khamis, 29 Disember 2016 | 9:36am

Bayi 9 bulan maut nahas


KEMALANGAN membabitkan sebuah lori dan sebuah kereta di Kilometer 12.8 Jalan Tunku Abdul Rahman, Sibu, malam tadi.

SIBU: Seorang bayi perempuan sembilan bulan maut dalam kemalangan membabitkan sebuah lori dan sebuah kereta di Kilometer 12.8 Jalan Tunku Abdul Rahman, di sini, malam tadi.

Pemangku Ketua Jabatan Siasatan Penguatkuasaan Trafik Sarawak, Asisten Superintendan Mathew Manggie, berkata kemalangan berlaku kira-kira jam 8 malam tadi selepas kereta dinaiki keluarga mangsa merempuh bahagian belakang lori yang berhenti di tepi jalan.

"Difahamkan, lori berkenaan dalam perjalanan dari Sibu ke Bintulu sebelum berhenti di bahu jalan selepas mengalami kerosakan sementara menunggu ketibaan lori penunda.

"Bagaimanapun, sebuah kereta dari arah sama tiba-tiba hilang kawalan sebelum terbabas lalu merempuh bahagian belakang lori berkenaan.

"Mangsa, Zara Arissa Luqman Nur Hakim disahkan meninggal dunia di Hospital Sibu akibat parah di bahagian kepala," katanya ketika dihubungi sebentar tadi.

Katanya, impak pelanggaran menyebabkan kereta jenis PROTON Saga itu remuk teruk.

"Kejadian berlaku ketika hujan dan keadaan di kawasan kemalangan juga gelap.

"Pemandu lori juga difahamkan sudah memasang lampu kecemasan, namun tidak memasang sebarang isyarat kecemasan," katanya.

Mathew berkata, ibu mangsa hanya cedera ringan, manakala bapanya dan seorang lagi anak mereka berusia dua tahun tidak mengalami sebarang kecederaan.

Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Berita Harian X