Rabu, 28 Disember 2016 | 11:20pm

Warga emas maut ditanduk kerbau betina


Ahli keluarga mengangkat jenazah Mat Usop Che Ya (gambar kecil), yang maut ditanduk kerbau untuk dikebumikan di Tanah Perkuburan Kampung Senor, Rantau Panjang. - Foto Syaherah Mustafa

PASIR MAS: Hasrat seorang warga emas menjual kerbaunya tidak kesampaian apabila dia mati ditanduk kerbau itu di Kampung Pak Itam di sini semalam.

Haiwan itu dikatakan baharu melahirkan anak tiga bulan lalu.

Ketua Polis Daerah Pasir Mas, ACP Ibrahim Saad, berkata mayat Mat Usop Che Ya, 65, ditemui pada jam 3 petang dengan mengalami pendarahan yang teruk di leher dan kepalanya.

"Mangsa dilapor mahu menangkap haiwan peliharaannya itu untuk dijual kepada seorang kenalannya," katanya.

Isteri mangsa Fatimah Ibrahim, 57, yang tinggal di Kampung Tok Rusa, berkata pada sebelah pagi kejadian suaminya memberitahu dia mahu menangkap kerbau berkenaan untuk dijual.

Fatimah berkata, dia mengetahui suaminya meninggal pada jam 3.30 petang selepas menerima panggilan daripada seorang penduduk kampung sebelum dia dan seorang anaknya bergegas ke tempat kejadian yang terletak kira-kira tujuh kilometer dari rumahnya.

"Saya tidak menyangka kejadian ini menimpa suami saya yang sudah memelihara kerbau sejak 30 tahun lalu," katanya.

Mereka ada lebih 20 ekor kerbau dan kerbau betina terbabit adalah antara yang paling sukar dikawal, justeru suaminya mahu menjual haiwan berkenaan.

Jenazah Allahyarham dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Senor pagi tadi. - BERNAMA

Berita Harian X