Rabu, 28 Disember 2016 | 4:53pm

Remaja dikhuatiri lemas, hilang dibawa arus

LIMBANG: Keseronokan sembilan remaja berkelah di Sungai Lubai, di sini, berakhir tragedi apabila seorang daripadanya dikhuatiri lemas selepas hilang dihanyutkan arus deras.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Limbang, Azman Ibrahim, berkata kejadian berlaku kira-kira jam 1.30 tengah hari ketika mangsa, Alexander Albertini Daud, 16, bersama rakannya mandi di sungai berkenaan.

"Berdasarkan maklumat, beberapa rakan mangsa terjun ke sungai berkenaan dari sebuah jambatan berhampiran.

"Namun, seorang daripadanya terhempap ke atas mangsa menyebabkannya tidak sedarkan diri. Mangsa kemudian tenggelam dan hilang dihanyutkan arus. Difahamkan, ketika kejadian, arus sungai agak deras," katanya.

Azman berkata, rakan mangsa bertindak menghubungi Balai Bomba dan Penyelamat Limbang bagi meminta bantuan kira-kira jam 1.58 tengah hari.

"Susulan itu, operasi mencari dan menyelamat (SAR) dilancarkan membabitkan lapan pegawai dan anggota, selain turut dibantu penduduk kampung menggunakan empat bot.

"Keadaan air sungai agak keruh ketika ini. Kita menggunakan kaedah pencarian di permukaan air dan membahagikannya kepada lima zon pencarian membabitkan radius kawasan pencarian dua kilometer," katanya.

Berita Harian X