Rabu, 28 Disember 2016 | 4:44pm

Rumah kebajikan didakwa berlaku penderaan, tidak ditutup


DATUK Rusnah Kassim pada majlis menyerahkan sumbangan Kembali Ke Sekolah 2017 di Buntong, Ipoh, hari ini. - Foto Balqis Jazimah Zahari

IPOH: Kerajaan Perak tidak akan mengambil tindakan menutup rumah kebajikan di Taman Lim, di sini, walaupun terdapat dakwaan berlaku penderaan terhadap penghuninya.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Kebajikan Masyarakat, Perumahan dan Kerajaan Tempatan negeri, Datuk Rusnah Kassim, berkata pihaknya masih menunggu siasatan polis berhubung dakwaan berkenaan.

"Setakat ini, tiada bukti penderaan secara fizikal di situ, jadi tidak ada isu kebimbangan yang anak -anak akan didera dan sebagainya.

"Namun, jika ada bukti kes penderaan, biarlah pihak tertentu mengambil tindakan terhadap mereka yang melakukannya," katanya selepas menyerahkan sumbangan Kembali Ke Sekolah  2017 kepada 200 pelajar daripada lima sekolah Tamil di Dewan Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) Kerajaan, Buntong, di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika mengulas laporan sebuah akhbar berbahasa Inggeris, hari ini yang mendakwa 12 kanak-kanak perempuan di rumah kebajikan itu didera secara fizikal dan emosi selama bertahun-tahun, namun tiada tindakan diambil pihak berkuasa.

Laporan akhbar itu turut mendakwa, mangsa disebat di tapak kaki, tangan dan punggung, selain dimasukkan dalam sangkar anjing serta tidak diberi makanan jika melakukan kesalahan.

Rusnah berkata, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sudah melakukan dua kali pemantauan ke rumah kebajikan itu iaitu pada 6 serta 20 Disember lalu dan mendapati keadaan di situ terkawal. 

Berita Harian X