Rabu, 28 Disember 2016 | 1:18pm

Persidangan antarabangsa mengenai Malaysia, dunia di Ohio


PEMEGANG Kursi Tun Abdul Razak, Universiti Ohio, Prof Dr Jayum Jawan

KUALA LUMPUR: Persidangan antarabangsa mengenai Malaysia dan dunia dari perspektif rentas serantau berhubung bangsa, agama serta identiti etnik, akan diadakan di Universiti Ohio, Athens, Ohio, Amerika Syarikat pada 24 hingga 26 Mac depan.

Pemegang Kursi Tun Abdul Razak, Universiti Ohio, Prof Dr Jayum Jawan, berkata persidangan itu anjuran pihaknya bersama Pejabat Hal Ehwal Global dan Pengajian Antarabangsa serta Jabatan Sains Politik Universiti Ohio.

Katanya, persidangan tiga hari itu bertujuan menyerlahkan profil dan peranan Malaysia di pentas dunia dengan menjemput ulama terkemuka dari Malaysia, Eropah serta Amerika Utara.

Beliau berkata, kemuncak persidangan antarabangsa itu ialah perbincangan pelan tindakan Perpaduan Negara: Mentakrif Perpaduan di Malaysia, yang menampilkan Pengarah Institut Kajian Etnik (KITA), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Profesor Ulung Datuk Shamsul Amri Baharuddin dan Majlis Profesor Negara.

"Persidangan itu akan menjadi forum perkongsian dan pertukaran ilmu secara akademik dan intelek.

"Ia juga menyediakan platform membincangkan perspektif perbandingan topik yang relevan di peringkat global.

"Program akademik ini diharap memberi manfaat dan memperkayakan pengajian Malaysia di seluruh dunia," katanya dalam satu kenyataan, di sini, hari ini.

Berita Harian X