Rabu, 28 Disember 2016 | 11:16am

Mourinho buntu, terpaksa jumpa Ferguson


JOSE Mourinho (kiri) dilaporkan mengadakan pertemuan sulit dengan Alex Ferguson bagi mendapatkan nasihat.

MANCHESTER: Jose Mourinho dilaporkan mengadakan pertemuan sulit dengan Alex Ferguson bagi mendapatkan nasihat berkenaan beberapa perkara membabitkan Manchester United.

Pengendali dari Portugal itu mengharungi permulaan yang sukar di Old Trafford apabila United tergelincir ke kelompok bawah liga dan hanya layak untuk peringkat kalah mati Liga Europa.

Namun, anak buah Mourinho mula bangkit dan kini, mereka belum tewas dalam 11 perlawanan, termasuk menang 3-1 ke atas Sunderland, kelmarin.

Menurut akhbar The Sun, dalam pertemuan itu Ferguson memberitahu Mourinho supaya kembali menjadi 'The Special One'.

Antara perbincangan Mourinho dengan bekas pengendali United yang memenangi 13 gelaran Liga Perdana Inggeris bersama kelab itu ialah bagaimana untuk mendapatkan persembahan terbaik daripada Michael Carrick.

Pemain 35 tahun itu, ditandatangani United ketika dikendali Ferguson, bukan pilihan utama untuk kesebelasan utama Mourinho, tetapi kini menjadi antara tonggak penting kelab.

Carrick mengisi kesebelasan utama United dalam lima perlawanan terakhir Liga Perdana dan membantu pasukan menang empat kali dan seri sekali.

Kebangkitan United ini dipercayai hasil perbincangan antara kedua-dua pengendali itu, yang pernah menjadi seteru dalam saingan Liga Perdana Inggeris ketika Mourinho membimbing Chelsea. - AGENSI

Berita Harian X