Rabu, 28 Disember 2016 | 12:02am

36 penempatan setinggan punca masalah kepada Kota Kinabalu

KOTA KINABALU: Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) mendedahkan sekurang-kurangnya 36 penempatan setinggan menjadi punca pelbagai masalah hingga menjejaskan imej dan keindahan bandar raya ini.

Pengarah Jabatan Penguatkuasaan DBKK, Abdul Mukti Muchlish, berkata pemerhatian DBKK juga mendapati semua penempatan atas air sekitar Pulau Gaya, turut berdepan masalah sampah, cuma bezanya sama ada serius atau tidak.

Bagi menangani isu sampah di penempatan atas air dan setinggan, pihaknya masih mengamalkan pendekatan menjalankan kempen kebersihan di beberapa perkampungan termasuk di Pulau Gaya.

"Kempen kebersihan yang dijalankan mendapat sokongan penduduk pulau itu terutama Kampung Kesuapan iaitu antara penempatan yang bersih. Justeru, tindakan mengeluarkan saman belum dilakukan.


ANTARA perkampungan setinggan di Sandakan melakukan penyambungan elektrik secara haram. - Foto NSTP/Poliana Ronnie Sidom

"Kita tidak menolak kemungkinan masalah sampah seperti sekitar pesisir pantai Tanjung Lipat, berpunca dari pulau (Pulau Gaya) dan kawasan penempatan di tepi sungai seperti Kampung Likas, Inanam dan Sembulan.

"Walaupun belum ada kajian yang mengesahkan perkara itu, tetapi berdasarkan pemerhatian kebanyakan sampah adalah hasil domestik seperti botol mineral, plastik dan bekas makanan. Semua ini kebanyakannya berpunca dari rumah penduduk," katanya kepada BH.

Sebelum ini BH melaporkan, timbunan sampah sarap dikutip Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) di Kampung Sembulan dan kawasan pantai Tanjung Lipat di pinggir bandar raya ini mencecah 216 tan atau 216,000 kilogram sebulan.

Difahamkan, ia bukan sampah lama sebaliknya bahan buangan baharu daripada sekecil puntung rokok, bekas serta botol plastik dan serpihan kayu serta buluh yang memenuhi pesisir pantai berkenaan yang sering menjadi tumpuan warga ibu negeri Sabah untuk beriadah setiap hari.

Walaupun tidak diketahui punca sebenar sampah itu, namun difahamkan penempatan setinggan tepi sungai termasuk adalah antara yang menjana sampah hingga dihanyutkan ke pantai khususnya Tanjung Lipat, selain ada yang mendakwa ia dihanyutkan arus dari pulau berdekatan.


PENGARAH Jabatan Penguatkuasaan Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK), Abdul Mukti Muchlish. - Foto NSTP/Malai Rosmah Tuah

Sementara itu, Abdul Mukti berkata, DBKK mengeluarkan 133 saman kepada penduduk Kampung Sembulan dan penghuni bangunan Fu Yen Jalan Padang, sejak Ogos lalu, susulan isu pembuangan sampah sarap di sekitar kawasan berkenaan.

Katanya, saman dikeluarkan berikutan kedegilan penduduk kedua-dua kawasan itu mematuhi amaran secara lisan, selain notis bersurat dan kompaun yang diberikan sebelum ini.

"Kita sudah memberi amaran secara lisan, memberi notis bersurat dan kompaun sejak sekian lama, namun tiada perubahan dan mereka tetap meneruskan membuang sampah.

"Selain itu, kita sudah membuat pelbagai aktiviti kebersihan termasuk gotong royong namun penyertaan amat sedikit, malah penghuni bangunan (Fu Yen) membuang sampah ke bawah sehingga menyebabkan ia tersangkut dan terkumpul di bawah kanopi yang menjadi penghubung antara bangunan," katanya.


SEBAHAGIAN rumah setinggan yang dikenal pasti dibina semula ketika Operasi Perobohan Rumah dan Struktur Haram di kawasan setinggan Kampung Bunga Raya, Kepayan, Kota Kinabalu. - Foto Mohd Adam Arinin

Susulan itu, Abdul Mukti berkata, seramai 133 penduduk di Kampung Sembulan dan penghuni bangunan Fu Yen sudah dikenakan perintah kehadiran wajib oleh mahkamah atas kesalahan mengotorkan kawasan bandar raya.

"Tindakan mengeluarkan saman itu dilakukan selepas kita mendapati tiga tindakan diambil sebelum ini tidak memberi kesan kepada mereka. Saman baharu juga sudah dikemukakan kepada kira-kira 30 penduduk di Kampung Sembulan dan Fu Yen, namun belum dijatuhkan hukuman.

"Kita serius menangani isu sampah dan kebersihan di bandar raya serta sekitarnya, malah DBKK adalah pihak berkuasa tempatan (PBT) pertama di negara ini mengenakan perintah kehadiran wajib kepada pesalah yang membuang sampah," katanya.


SEKITAR Ops Bersepadu yang dijalankan Dewan Bandaraya Kota Kinabalu untuk merobohkan lebih 40 buah struktur rumah setinggan di Kampung Sembulan, Kota Kinabalu. - Foto Mohd Adam Arinin

INFO:

# 133 saman diperintah mahkamah menjalani perintah kehadiran wajib

# 36 koloni setinggan di Kota Kinabalu dan sekitarnya

# 4,434 rumah setinggan

# 577 kediaman setinggan dirobohkan sejak Januari hingga Oktober

# 1,044 kompaun dikeluarkan DBKK sejak Januari hingga Oktober tahun ini

# RM24,000 kutipan kompaun kesalahan dilakukan di kawasan penempatan, perhentian bas, kaki lima mengikut Undang-undang Kecil Anti Sampah Sarap Bandaraya Kota Kinabalu 2005.

ANTARA penempatan setinggan yang diserbu bersempena Op Bersepadu pendatang asing tanpa izin (PATI) berhampiran Kampung Suang Prai Manggatal, Kota Kinabalu.- Foto Mohd Ruzaini Zulkepli
Berita Harian X