Selasa, 27 Disember 2016 | 8:22pm

Keluarga pemandu minta hentikan komen negatif

MUAR: "Kami minta semua pihak supaya hentikan komen negatif kerana kami juga terkesan dengan tragedi ini."

Itu permintaan Zaheerah Zubir, adik pemandu bas ekspres, Zakeer Zubir, berhubungan kemalangan bas di Pagoh, Sabtu lalu, yang mengorbankan 14 nyawa, termasuk abangnya.

Zaheerah, 21, berkata keluarganya turut mengalami trauma terutama ibunya, Rasidah Abdul Rahim, 61, selain dua anak arwah, Nur Cahaya Zulaikha, 4 dan Nur Zafeerah, 2, yang sering bertanya mengenai ibu bapa dan adik mereka.

"Kami minta semua pihak supaya menghentikan komen negatif mengenai kemalangan itu.

"Kasihanilah ibu bapa saya yang turut trauma dengan kejadian terbabit, selain memikirkan banyak perkara, termasuk nasib anak arwah, mereka juga tidak sihat.


ADIK pemandu bas ekspress, Zaheerah Zubir. - Foto Badrul Kamal Zakaria

"Kakak ipar saya pun masih dalam trauma. Dua anak arwah abang saya juga mula mencari ibu bapanya dan mereka seolah-olah macam hilang punca," katanya ketika ditemui di pekarangan Hospital Pakar Sultanah Fatimah (HPSF), di sini, sebentar tadi.

Zaheerah berkata, semua ahli keluarganya sememangnya sedang bersedih, namun perlu menunjukkan semangat yang kuat terutama di hadapan ibu bapa dan anak arwah.

Beliau berkata, isteri arwah juga masih tidak dapat menerima kejadian itu, namun kehadiran beliau dan abang, Zameer, 35, sedikit sebanyak menenangkannya.

"Pihak hospital juga memberi kaunseling. Kami berharap semua pihak faham dengan situasi keluarga kami," katanya.

20 dibaca
Keadaan bas yang terbabas dalam kemalangan di Km 137.4 lebuhraya Utara Selatan arah utara membabitkan sebuah bas Express Alisan dari Singapura ke Kuala Lumpur pada 24 Disember lalu. - Foto NSTP/Rasul Azli Samad
Berita Harian X