Selasa, 27 Disember 2016 | 1:01pm

Askar maut motosikal dilanggar bas

SERIAN: Seorang anggota tentera dari Briged 3 Infantri, Kuching, terbunuh selepas motosikal dibonceng dilanggar bas ekspres di Kilometer 61, Jalan Kuching-Sri Aman, di sini, semalam.

Prebet Mohammad Haziq Irsyaduddin, 23, yang tercampak ke atas bonet sebuah pacuan empat roda, meninggal dunia di lokasi akibat kecederaan di kepala dan bahagian kanan rusuk.

Penunggang motosikal yang juga sepupu mangsa, Eirsard Emeir Yahya, 20, parah dan kini dirawat di Hospital Umum Sarawak (HUS).

Motosikal itu dilanggar bas dari arah belakang ketika berhenti di tengah jalan untuk membelok ke Kampung Hulu Serian di sini, jam 11.20 malam.

Jurucakap polis berkata, rempuhan itu menyebabkan Mohammad Haziq terpelanting ke atas bonet sebuah kenderaan pacuan empat roda (4WD) jenis Toyota Fortuner yang datang dari arah Sri Aman.

Mangsa yang sedang bercuti tiga hari sejak Jumaat lalu, sepatutnya mula bertugas semula hari ini.

Kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Berita Harian X