Isnin, 26 Disember 2016 | 10:15pm
ANGGOTA bomba mengeluarkan mangsa yang tersepit di dalam kereta Perodua Myvi yang terbabit dalam kemalangan dengan sebuah lori treler di Jalan Bukit Sebangkoi, Sarikei. - Foto bomba
KEMALANGAN membabitkan Perodua Myvi dengan sebuah lori treler menyebabkan jalan sesak di Jalan Bukit Sebangkoi, Sarikei. - Foto bomba

Seorang maut, 3 parah Myvi bertembung treler


KENDERAAN Perodua Myvi remuk selepas bertembung dengan sebuah treler dari arah bertentangan.

SARIKEI: Seorang lelaki maut selepas kereta Perodua Myvi dipandunya bertembung dengan sebuah treler dalam kemalangan membabitkan tiga buah kenderaan di Jalan Sebangkoi di sini, pada jam 3.00 petang tadi.

Mangsa, Hu Hang Tiong, 41, tersepit di tempat duduk pemandu dan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh pasukan paramedik.

Tiga penumpang dalam kenderaan dipandu mangsa termasuk seorang warga emas dilaporkan cedera parah.

Mereka dikenal pasti sebagai Uon Mee Hua, 74, Pang Kech Siong, 24, dan Kong Lik Ying, 23, dikejarkan ke Hospital Sarikei untuk rawatan.

Pemangku Ketua Polis Daerah Sarikei, Superitendan Mat Jusoh Mohamad, berkata mangsa dipercayai dalam perjalanan ke Sarikei manakala lori treler dari arah bertentangan.

"Siasatan awal polis mendapati kemalangan berlaku apabila Myvi melanggar bahagian belakang sebuah Perodua Viva sebelum hilang kawalan dan bertembung dengan lori treler yang berada di laluan bertentangan," katanya.

Pemandu treler berusia 49 tahun dan pemandu kereta Perodua Viva berumur 48 tahun, serta empat penumpang di dalamnya dilaporkan selamat.

15 dibaca
Berita Harian X