Isnin, 26 Disember 2016 | 7:46pm

Candat sotong dalam perut ikan lumba-lumba


BANGKAI seekor ikan lumba-lumba yang ditemui dengan satu candat sotong tersangkut dalam perutnya. - Foto Facebook

KOTA KINABALU: Bangkai seekor ikan lumba-lumba dewasa jantan jenis gigi kasar dijumpai di pantai Kampung Pintasan, Kota Belud, kira-kira 75 kilometer dari sini pada malam menjelang Krismas, dengan satu candat sotong tersangkut dalam perutnya.

Pengarah Jabatan Hidupan Liar Sabah, Augustine Tuuga, berkata candat sotong berukuran lapan inci itu menyebabkan ikan itu mengalami trauma teruk dan komplikasi lain.

"Kami segera menghantar unit Penyelamat Hidupan Liar (WRU) untuk menjalankan siasatan lanjut kes ini dan untuk mengetahui apa yang berlaku kepada ikan lumba-lumba itu.

"Walaupun ia petang menyambut Krismas, WRU mempunyai satu pasukan yang diletakkan dalam keadaan bersedia untuk menangani kes seperti ini," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Sementara itu, Penolong Pengarah Jabatan Hidupan Liar Sabah, Dr Sen Nathan, pula berkata pasukan WRU berkenaan membawa pulang bangkai ikan itu ke Kota Kinabalu untuk dibedah siasat dan sedih dengan penemuan candat sotong di dalam perutnya.


BANGKAI seekor ikan lumba-lumba dewasa jantan dijumpai di pantai Kampung Pintasan, Kota Belud, pada malam menjelang Krismas. - Foto Facebook

Candat logam itu juga mengakibatkan septicemia (keracunan darah) dan kebuluran, yang membawa kepada kematian mamalia berkenaan.

"Sedih melihat hidupan laut yang secantik itu kehilangan nyawa akibat kebodohan manusia, walaupun ia tidak berkaitan secara langsung.

"Saya juga ingin menasihati orang ramai sekiranya mereka mendapati mamalia marin jenis ini terdampar di pantai pada masa akan datang, sila hubungi Jabatan Hidupan Liar Sabah melalui talian 0128019289 atau emel kepada kami melalui rhinosbh@gmail.com," katanya. - BERNAMA

Berita Harian X