Isnin, 26 Disember 2016 | 4:17pm

Pembelian ekuiti syarikat Indonesia, tidak jejas peneroka - FELDA

Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (FELDA) menerusi anak syarikatnya, FIC Properties Sdn Bhd (FICP) menandatangani Perjanjian Jual Beli (SPA) dengan Rajawali Group untuk membeli sebahagian ekuiti dalam PT Eagle High Plantation Tbk (EHP).

Menerusi SPA berkenaan, FICP akan membeli ekuiti sebanyak 37 peratus dalam EHP, iaitu antara syarikat perladangan terbesar di Indonesia yang disenaraikan di bursa saham Jakarta.

Pembelian bernilai AS$505.4 juta (RM2.26 bilion) itu menyaksikan FELDA memperoleh akses kepada tanah perladangan seluas lebih 320,000 hektar di Indonesia (kira-kira 4.4 kali keluasan Singapura), termasuk lebih 125,000 hektar yang sudah ditanam dengan pokok sawit.

Berikut penjelasan FELDA mengenai beberapa perkara yang dibangkitkan berkaitan urus niaga pembelian saham itu.

Adakah urus niaga ini akan menjejaskan kesejahteraan peneroka?

Pelaburan tidak menggunakan sumber kewangan FELDA dan tidak akan mempengaruhi komitmen sedia ada serta tidak menjejaskan program FELDA dalam meningkatkan kesejahteraan peneroka.

Adakah FELDA membayar premium terlalu tinggi ke atas harga pasaran saham EHP sedangkan sesetengah pihak mendakwa ia adalah setinggi 173 peratus?

Harga saham bukanlah kaedah penilaian yang diterima apabila membabitkan syarikat perladangan. Harga saham mungkin tidak menggambarkan nilai sebenar EHP. Penilaian yang diterima merupakan nilai perusahaan (Enterprise Value - EV) sehektar iaitu AS$16,000 (RM71,584) EV sehektar dan nilai inilah yang FELDA bayar untuk kepentingan 37 peratus. Nilai ini adalah lebih baik dibandingkan dengan urus niaga lain baru-baru ini yang melibatkan syarikat minyak sawit Indonesia.

Apakah urus niaga perbandingan yang terkini membabitkan syarikat perladangan Indonesia?

Sebagai perbandingan, baru-baru ini tawaran akhir KLK iaitu AS$15,500 (RM69,347) EV sehektar, telah ditolak oleh Lembaga MP Evans. Penilaian bebas MP Evans meletakkan nilai mereka pada AS$17,300 (RM77,400.20) EV sehektar. Lembaga MP Evans telah meminta untuk penilaian pada AS$24,000 (RM107,376) EV sehektar bagi syarikat tersebut. Pada nilai AS$505.4 juta (RM2.26 bilion), FELDA membeli kepentingan dalam EHP dengan nilai AS$16,000 (RM71, 584) EV sehektar.

- Kawasan perladangan MP Evans yang telah ditanam ialah 31,400 hektar, manakala kawasan EHP yang telah ditanam ialah 125,000 hektar. Oleh itu, FELDA mempunyai akses kepada tanah yang empat kali lebih luas daripada keluasan tanah ladang MP Evans pada kadar EV sehektar yang lebih rendah.

- Selain itu, pembelian New Britain Palm Oil Ltd oleh Sime Darby adalah pada AS$27,000 (RM120,798) EV sehektar.

Adakah sebab lain mengapa harga saham bukanlah suatu penilaian yang tepat?

- Harga saham juga tidak menggambarkan nilai sebenar kerana saham EHP dikawal 70 peratus oleh Kumpulan Rajawali. Tambahan lagi, ia disenaraikan dalam Bursa Saham Jakarta di mana ia tidak secair di Bursa Saham Kuala Lumpur (BSKL) atau SGX Singapura.

 

Apakah perkara lain yang diambil kira dalam harga belian?

- Harga belian mengambil kira nilai kekurangan (scarcity value) EHP.

- Tiada ladang bersaiz sebesar ini untuk dijual terutama pada penilaian ini.

- Inilah peluang terakhir untuk FELDA/Malaysia atau mana-mana pihak luar yang lain untuk memperoleh sebuah syarikat Indonesia dengan pemilikan tanah yang sangat luas.

- Kerajaan Indonesia bersetuju untuk memberi pengecualian sekali ini saja dengan perjanjian ini.

Bagaimana perjanjian ini dapat memberi manfaat kepada FELDA?

- Perjanjian ini akan meningkatkan profil tanaman FELDA kerana purata umur pokok di EHP adalah tujuh tahun berbanding dengan pokok di FELDA / Felda Global Ventures (FGV) yang berumur 15 tahun.

- Lebih banyak peluang kolaborasi dan urus niaga jual beli antara FELDA/FGV dan EHP.

- Potensi perniagaan baharu dan sinergi untuk Kumpulan FELDA di bidang semaian, baja, urus niaga minyak sawit mentah (MSM), hiliran/oleo-kimia dan potensi memasuki pasaran Indonesia yang luas dengan rakyat 260 juta orang bagi produk pengguna keluaran Kumpulan FELDA.

Bagaimana perjanjian ini boleh memberi manfaat kepada negara?

- Pelaburan dalam sebuah syarikat yang merupakan pemain utama dalam industri minyak sawit di Indonesia adalah sejajar dengan hasrat kerajaan Malaysia untuk memastikan negara terus menjadi pemain utama dalam industri minyak sawit global.

- Ia akan bertindak sebagai pencetus untuk bergerak ke hadapan dalam agenda Majlis Negara-Negara Pengeluar Minyak Sawit (CPOPC), yang baru ditubuhkan, iaitu untuk menstabilkan harga minyak sawit global.

209 dibaca
Berita Harian X