Isnin, 26 Disember 2016 | 10:22am

Mourinho lebih selesa berbanding Moyes


JOSE Mourinho. - Foto Reuters

LONDON: Jose Mourinho menegaskan dia tidak dibebani dengan harapan tinggi diletakkan di atas bahunya apabila menjadi pengurus Manchester United - tidak seperti rakan sejawatnya di Sunderland, David Moyes, menjelang aksi Boxing Day, malam ini.

Moyes akan kembali ke Old Trafford buat kali pertama sejak dia dipecat pada April 2014 selepas hanya 10 bulan mengendalikan pasukan itu, menggantikan tempat Alex Ferguson.

Tugas membimbing United jelas terlalu berat buat Moyes yang membawa The Reds Devils daripada juara ke tangga ketujuh Liga Perdana Inggeris - keputusan paling buruk mereka dalam saingan liga.

Berbanding Moyes yang disifatkan tidak sesuai dengan tugasan di United, Mourinho sebaliknya merasakan dia seperti berada di rumah sendiri sejak dilantik dan dalam usaha mengembalikan pasukan itu ke kelompok teratas.

"Saya tidak fikir ia beban. Saya fikir sejarah hebat kelab ini adalah perkara yang positif dan bukannya negatif.

"Masalahnya adalah jika kamu terpaksa mengikut kejayaan itu dan sejarahnya. Itu pastinya cerita yang berbeza. Bagi saya, ia mudah, tugas yang sukar tetapi mudah untuk berasa seperti di rumah.

"Mudah untuk berasa baik di kelab ini, mudah kerana kelab mahu meningkatkan prestasi dan semua orang mahu kembali gembira dan saya berasa baik.

"Jadi, selepas lima atau enam bulan di sini, keputusannya adalah tidak menentu dan kami berada di kedudukan yang bukan kami mahukan.

"Namun, dari aspek kerja, kesungguhan untuk kelab baharu, saya sangat gembira di sini," kata Mourinho. - Agensi

Berita Harian X