Isnin, 26 Disember 2016 | 12:17am

ATV penarik riadah dalam belantara

DUNGUN: Melihat potensi aktiviti kenderaan lasak pelbagai bentuk permukaan bumi (ATV) dalam pasaran Malaysia yang semakin meningkat, seorang jurutera profesional mula menceburkan diri dalam industri yang memberi tarikan kepada eko-pelancongan itu.

Berbekalkan lapan ATV di awal pembabitannya pada 2011, kini Cemerung Outdoor Adventure (COA) milik Mohamad Mohardinata Mohd Ali, 49, dari Kampung Jongok Batu, Hulu Dungun, Terengganu bukan sahaja menyediakan 14 unit ATV malah pengunjung juga boleh merasai pelbagai keseronokan aktiviti lain termasuk Go Cart, dan berkayak.

Mohamad Mohardinata atau lebih mesra dengan panggilan Mohar berkata pada awal pembabitan dalam sukan permotoran lasak itu, dia hanya menyewa tanah abang ipar untuk menempatkan ATV miliknya.

"Bagaimanapun, saya mengalami masalah kerana setiap kali musim tengkujuh, kawasan itu kerap dinaiki air. 

"Jadi, saya mengambil keputusan untuk berpindah ke lokasi lain yang lebih strategik dan selamat.


KESELAMATAN peserta ketika melalui kawasan mencabar sentiasa diawasi oleh krew Cemerung Outdoor Adventure (COA). - Foto Aslina Abu Bakar

"Pada awal 2014, saya mula membangunkan kawasan terbiar yang terletak di tengah Hulu Dungun dan ia mula beroperasi pada 2015 sehingga kini dengan menyediakan pelbagai kemudahan seperti tempat beristirahat, tapak perkhemahan, surau, tandas, bilik mandi, wakaf, bengkel, stor untuk penyimpanan peralatan aktiviti, peralatan BBQ dan tempat meletak kenderaan," katanya.

Mohar yang mempunyai pengalaman 19 tahun dalam bidang kejuruteraan mekanikal, minyak dan gas berkata, pemilihan lokasi itu memberi kepuasan kepadanya kerana ia bukan sahaja terletak di kawasan pergunungan Hulu Dungun malah ia juga berdekatan dengan air terjun tertinggi di Asia Tenggara iaitu Air Terjun Chemerong dan lokasi yang menempatkan pokok Chengal terbesar di dunia.

"Dengan menggunakan konsep kejuruteraan yang bekerja dalam satu kumpulan, akhirnya saya dapat menguruskan COA ini dengan lebih agresif pada tahun ini.

"Saya mengambil masa selama tiga tahun untuk membangunkan krew  terdiri daripada kumpulan orang kampung bagi membantu saya menguruskan COA selain menyelami selok belok hutan di kawasan Chemerong ini," katanya.

Mohar yang juga Pengarah Operasi COA berkata, dengan menggunakan kemahiran penduduk tempatan untuk membantu mengendali selok belok hutan, dia dapat melakukan kerja dengan lebih mudah selain menyediakan peluang pekerjaan kepada penduduk.

"Saya kini mempunyai lapan pekerja tetap dan 20 pekerja sambilan yang mana semua mereka adalah penduduk tetap di kawasan ini.


KREW Cemerung Outdoor Adventure (COA) membantu peserta ketika melalui kawasan mencabar dan berbukit. - Foto Aslina Abu Bakar

KRU Cemerung Outdoor Adventure memberi taklimat kepada peserta sebelum memulakan perjalananan di Hutan Chemerung. - Foto Aslina Abu Bakar

"Saya mengambil mereka bekerja kerana mereka mempunyai kemahiran yang cukup banyak terutama mengenai selok belok hutan. 

"Selain itu, mereka juga mempunyai kemahiran membaiki ATV jika berlaku masalah ketika berada di dalam hutan.

"Kebanyakan mereka juga dilatih menjadi jurugambar ketika pengembaraan dijalankan di dalam hutan. 

"Jadi, pelanggan kami tidak perlu membawa kamera untuk mengambil gambar kerana kami sudah menyediakannya," katanya.

Mohar berkata, pada tahun ini, seramai 1,500 pengunjung sudahpun datang ke COA untuk merasai pengalaman dan cabaran merentasi laluan lasak yang disediakan sambil menikmati keindahan alam semulajadi yang terdapat di sekitar kawasan Hulu Dungun.

"Kebanyakan pelanggan kami terdiri daripada pengunjung dalam negara, selain beberapa pengunjung asing pernah datang ke sini antaranya dari Singapura, China, Korea, Afrika dan Jepun.


PESERTA eco Exploration tidak melepaskan peluang bergambar selepas mengharungi Hutan Chemerung selama enam jam dengan menaiki ATV di Hutan Hulu Terengganu. - Foto Aslina Abu Bakar

Mohar berkata, pihaknya sangat menitikberatkan keselamatan pengunjung ke COA, bairpun mereka sudah mahir menggunakan ATV namun mereka perlu mengikuti paraturan dan keselamatan yang ditetapkan.

Bagi perancangan masa depan, beliau berkata, pihaknya berhasrat untuk menambah 40 unit ATV  selain menaiktaraf jenis ATV yang menggunakan rantai kepada jentera 4 x 4 yang menggunakan enjin lebih berkuasa tinggi.

"Permintaan pelanggan dari dalam dan luar negara untuk aktiviti ATV jarak jauh dan 'hardcore' semakin meningkat, jadi pihak kami perlu menambah jumlah kemudahan ATV.

"Setiap unit kenderaan terbabit bernilai antara RM9,000 hingga RM14,000.

"Malah, sempena tahun Melawat Terengganu (TMT) 2017, saya mencadangkan pihak Tourism Malaysia Terengganu menganjurkan ATV Eco- challenge kerana ia akan menjadi program pertama dianjurkan di Malaysia," katanya. 

19 dibaca
PESERTA membuat latihan sebelum memulakan perjalananan di Hutan Chemerung. - Foto Aslina Abu Bakar
CEMERUNG Outdoor Adventure menyediakan lebih 14 ATV kepada pelanggannya. - Foto Aslina Abu Bakar
SELEPAS mengharungi Hutan Chemerung selama enam jam dengan menaiki ATV peserta boleh menikmati keindahan sungai yang terdapat di Hutan Hulu Terengganu. - Foto Aslina Abu Bakar
PENGUNJUNG tidak melepaskan peluang mencuba aktiviti Go Cart yang disediakan di Cemerung Outdoor Adventure (COA). - Foto Aslina Abu Bakar
SELAIN ATV Cemerung Outdoor Adventure (COA) juga turut menyediakan permainan Go Cart kepada pengunjung. - Foto Aslina Abu Bakar
PESERTA yang datang ke Cemerung Outdoor Adventure (COA) pasti teruja dapat menikmati keindahan eco tourism yang terdapat di Hutan Chemerung. - Foto Aslina Abu Bakar
PESERTA Cemerung Outdoor Adventure (COA) berpeluang mengambil gambar di kawasan pergunungan Hutan Chemerung. - Foto Aslina Abu Bakar
Berita Harian X