Ahad, 25 Disember 2016 | 9:16pm

Seorang maut kereta bertembung pacuan empat roda


PACUAN empat roda jenis Toyota Vigo yang bertembung dengan sebuah PERODUA Kancil di Jalan Kinabatangan-Lahad Datu, petang tadi. - Foto ihsan JBPM Sabah

LAHAD DATU: Seorang maut, manakala tiga lagi parah dalam kemalangan membabitkan sebuah PERODUA Kancil dan pacuan empat roda Toyota Vigo di Jalan Kinabatangan-Lahad Datu, di sini, petang tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 4.40 petang, kereta PERODUA Kancil dinaiki empat orang dipercayai hilang kawalan sebelum bertembung dengan Toyota Vigo.

Pertembungan itu menyebabkan kereta PERODUA Kancil terbabit remuk dan terhumban ke parit, manakala pacuan empat roda berkenaan hanya mengalami kerosakan di bahagian hadapan.

Mangsa yang maut ialah Mohd Ridzuan Lamaha, 24, manakala yang cedera parah dikenali sebagai Rubin Uddin, 31 dan abangnya, Sar Uddin, 32.

Seorang lagi mangsa yang parah belum dikenal pasti identitinya.


KEADAAN PERODUA Kancil yang remuk dan terhumban ke dalam parit selepas bertembung dengan sebuah Toyota Vigo di Jalan Kinabatangan-Lahad Datu. - Foto ihsan JBPM Sabah

Keempat-empat mereka menaiki PERODUA Kancil manakala mangsa dalam Toyota Vigo yang dikenali sebagai Zainal Hatta, 48, hanya cedera ringan.

Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah, Affendy K Ramin, berkata anggota JBPM dari Balai Bomba Lahad Datu tiba di lokasi pada jam 5.10 petang tadi selepas menerima panggilan pada jam 4.45 petang.

"Jarak lokasi kemalangan dari balai ialah kira-kira 30 kilometer. Setibanya di lokasi, semua mangsa sudah dihantar ke Hospital Lahad Datu oleh orang awam dan dilaporkan seorang meninggal dunia," katanya.

Operasi menyelamat yang disertai sembilan anggota tamat pada jam 5.20 petang tadi.

Berita Harian X