Ahad, 25 Disember 2016 | 11:23am

Pemohon suaka merusuh di kem tahanan di Papua New Guinea

SYDNEY: Pemohon suaka yang ditahan di pusat tahanan di Papua New Guinea merusuh dan menghalau pengawal berikutan kematian seorang pelarian yang jatuh sakit di pusat berkenaan.

Sarjan kanan Thomas Lelepo, dari Balai Polis Lorengau di Pulau Manus, berkata pengawal di pusat pemprosesan wilayah di Pulau Manus dihalau oleh penduduk malam kelmarin.

“Ada rusuhan di situ berhubung kematian seorang penduduk,” katanya kepada Reuters menerusi telefon, sambil menambah keadaan kembali tenang.

Warga Sudan dikenali sebagai Faysal Ishak Ahmed, 27, pitam di pusat itu dan dipindahkan ke hospital di Australia minggu ini. Jabatan Imigresen dan Perlindungan Sempadan Australia berkata, beliau meninggal dunia semalam.

Kematian beliau tidak dianggap mencurigakan oleh pihak berkuasa Australia tetapi tahanan dan kumpulan hak pelarian mendakwa Ahmed sakit teruk selama beberapa bulan dan membuat permohonan berulang kali untuk mendapatkan bantuan perubatan.

Menurut dasar keselamatan sempadan tegas Australia, pemohon suaka yang dipintas cuba memasuki negara itu dengan bot akan dihantar untuk diproses di kem di Pulau Manus dan Nauru di Pasifik Selatan.

Mereka juga tidak layak untuk menetap di Australia.

Jurucakap Jabatan Imigresen Australia mengesahkan kejadian itu.

“Jabatan menyedari kekecohan membabitkan sekumpulan penduduk. Rusuhan sudah selesai. Cuma sedikit kerosakan berlaku pada bangunan dan tiada kecederaan dilaporkan,” katanya dalam kenyataan semalam.

Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan hak asasi manusia mengutuk dasar imigresen Australia, mendakwa pencabulan hak asasi dilakukan di pusat tahanan di Pulau Manus dan Nauru, keadaan di situ mendorong beberapa tahanan cuba membunuh diri.

Seramai 872 pemohon suaka ditahan di situ walaupun Mahkamah Agung Papua New Guinea, pada April lalu memutuskan penahanan mereka tidak sah dan mengarahkan kem itu ditutup. - Reuters

Berita Harian X