Ahad, 25 Disember 2016 | 10:30am

Ayda Jebat teruja berlakon drama bukan daripada novel


AYDA Jebat. - Foto Mahzir Mat Isa

KUALA LUMPUR: Jika dilihat kemunculannya dalam drama rantaian yang diadaptasikan daripada novel, Ayda Jebat boleh dianggap 'ratu' dalam membintangi produksi seumpama itu.

Mula mencipta populariti dengan drama Rindu Awak 200% yang diadaptasikan daripada novel, penyanyi Pencuri Hati ini terus menyinar dalam produk sama seperti seperti MAID, Suami Sebelah Rumah, Isteri Separuh Masa, Assalamualaikum Cinta dan terbaharu, Awak Sangat Nakal.

Tampil dengan pembaharuan sempena 2017, Ayda memberitahu BH Online, dia bakal membintangi drama yang bukan diangkat daripada novel.

Ayda berkata, mengikut perancangan dia bakal digandingkan dengan Redza Rosli. Lebih mengujakan, drama itu akan disiarkan TV3 seolah suatu isyarat dirinya kembali ke stesen televisyen (TV) berkenaan.

"Saya diberitahu drama ini akan mengisi slot Akasia TV3 menjelang Ramadan depan. Namun, judulnya saya tidak pasti.

"Saya sangat teruja untuk membintangi drama ini. Selepas sering diberi tawaran berlakon drama yang diadaptasikan daripada novel, saya lihat ia bagai sudah menjadi 'overrated'.

"Sampai suatu tahap, saya fikir nak pilih cerita apa lagi kalau plotnya hampir sama," katanya.

Bagaimanapun, Ayda yang merangkul trofi Personaliti Sensasi Melodi 2016, baru-baru ini, tahu ramai peminat suka menonton drama yang diadaptasikan daripada novel.

"Namun, kalau mengikut fikiran saya, sudah tiba masanya kita kembali menghasilkan naskhah drama atau filem yang bukan diangkat daripada novel.

"Karyawan seni seperti penulis skrip dan penerbit ada kuasa untuk mengembalikan kegemilangan drama yang dihasilkan atas ilham sendiri," katanya yang kali terakhir muncul di TV3 melalui drama Rindu Awak 200%.

Bercerita lanjut mengenai projek terbaharunya itu, Ayda berkata, drama itu akan diarahkan Raja Ahmad Alauddin.

"Tidak terlalu berat. Saya lihat pendekatannya seperti filem Hindustan. Saya sudah beberapa kali berlakon dengan Redza.

"Cuma untuk drama ini, kali pertama kami dipasangkan sebagai hero dan heroin," katanya.

21 dibaca
Berita Harian X