Ahad, 25 Disember 2016 | 7:59am

Jenazah pemandu bas, anak selamat dikebumikan


AHLI keluarga Jenazah pemandu bas Zakeer Zubir, 32, dan anaknya, Nur Natasya Zahara Zakeer, 1, tidak dapat menahan kesedihan ketika menatap jenazah di Tanah Perkuburan Hashim Yahaya, Jalan Perak awal pagi ini untuk dikebumikan. Kedua-dua beranak terbabit meninggal dunia dalam kemalangan bas ekspres yang mengorbankan 14 nyawa di Kilometer 137.4 Lebuh Raya PLUS, arah utara Pagoh, Muar, Johor. - Foto Shahnaz Fazlie Shahrizal

GEORGETOWN: Jenazah pemandu bas dan anak perempuannya yang maut dalam nahas di Kilometer 137.4 Lebuhraya Utara-Selatan arah utara di Pagoh semalam, selamat dikebumikan selepas solat subuh, pagi tadi.

Jenazah Zakeer Zubir, 32, dan Nur Zarah Natasya Zakeer, 1, dikebumikan dalam satu liang lahad di Tanah Perkuburan Islam Masjid Jamek Hashim Yahaya di Jalan Perak dekat sini, sejurus selesai solat Subuh kira-kira jam 6.30 pagi tadi.

Ibu kepada Zakeer, Rasidah Abdul Rahim, 61, berkata dia dan keluarga reda dengan pemergian Allahyarham, selain berhasrat melawat menantunya, Miatsi Kemart, 33, yang parah dalam kejadian itu di Johor, esok.

Bagaimanapun, katanya, hasrat Zakeer untuk meraikan sambutan ulang tahun kelahiran anak sulungnya dan Nur Zarah Natasya, pada 31 Disember ini, tidak kesampaian.

Beliau berkata, Zakeer sebelum ini ada menyatakan hasrat untuk mengadakan sambutan ulang tahun kelahiran anaknya serta kenduri doa selamat dan arwah untuk ahli keluarga mereka, bagaimanapun ia tidak kesampaian.

"Sebelum dia pergi ke Johor, arwah tak mahu makan, selain mengajak isteri dan anak bongsu untuk menemannya kerana risau memandu bas secara berseorangan selepas pembantu pemandu tidak dapat ikut sama dalam perjalanan terbabit.

"Saya juga mohon orang ramai tidak membuat sebarang spekulasi berhubung insiden ini dan tunggu hingga siasatan mengenainya selesai," katanya ketika ditemui di sini, sebentar tadi.

Zakeer meninggalkan seorang balu, Miatsi dan dua anak perempuan, masing-masing Nur Zulaikha, 4, dan Nur Zafira, 2.

Terdahulu, jenazah dua beranak itu tiba di Masjid Jamek Hashim Yahaya di Jalan Perak, dekat sini, pada jam 4.45 pagi tadi.

Dalam kejadian 3.45 pagi semalam, isteri Zakeer, Miatsi cedera parah dipercayai patah tulang belakang dan pinggul dan dirawat di Hospital Pakar Sultanah Fatimah (HPSJ), di Johor.

Difahamkan, ketika kejadian Miatsi sedang memangku anak mereka, namun pelukannya itu terlepas hingga menyebabkan anak perempuannya tercampak ke bahagian hadapan bas dan maut di lokasi kejadian.

Nahas yang dikatakan berpunca akibat bas dipandu laju sebelum 'terbang' menjunam di cerun dan melanggar tebing konkrit di bawahnya itu, turut mengorbankan 12 lagi mangsa lain.

Malah, 16 penumpang bas dalam perjalanan dari JB Sentral, Johor Bharu ke Terminal Bersepadu Selatan di Kuala Lumpur, turut tercedera dan dirawat di HPSJ.

Penumpang yang cedera membabitkan tujuh lelaki tempatan, lima lelaki dan seorang wanita warga Singapura, dua lelaki warga Myanmar, manakala identiti seorang lagi wanita masih belum dikenal pasti.

14 dibaca
Berita Harian X